suria

Shahidan Nafi KOAM Berdepan Masalah

KUALA LUMPUR: Presiden Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM) Datuk Seri Shahidan Kassim semalam menafikan laporan sebuah akhbar yang mengatakan KOAM kini berdepan dengan masalah.

"Tidak ada sebarang masalah di dalam KOAM dan semuanya berjalan dengan lancar. Saya mengingatkan semua atlet, pegawai dan lain-lain pihak supaya berhati-hati agar tidak membuat laporan yang negatif yang boleh merosakkan KOAM dan kepentingan para penaja," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Shahidan berkata laporan yang disiarkan oleh Harian Metro kelmarin yang menyatakan hasil tinjauan akhbar itu mendapati pejabat KOAM kosong juga adalah tidak benar.

"Saya ingin mengingatkan mereka yang di sebalik kejadian ini agar menghentikan usaha merosakkan imej KOAM. Berdasarkan rekod, pejabat kami beroperasi dari pukul 9 pagi hingga 5 petang. Terdapat pegawai yang bertugas sepanjang waktu itu di mana KOAM mempunyai bukti," katanya.

Mengulas mengenai prestasi atlet olahraga negara pada Sukan Sea Laos yang lalu, beliau berkata walaupun atlet-atlet olahraga gagal menepati sasaran pingat yang ditetapkan namun mereka juga berjaya memperbaharui rekod kebangsaan dan Sukan Sea.

"Walaupun sasaran lapan pingat emas tidak tercapai tetapi atlet olahraga berjaya memecahkan rekod kebangsaan dan rekod Sukan Sea. Dalam konteks ini secara moralnya telah kita capai," katanya.

Pada Sukan Sea Laos, olahraga menyumbang enam pingat emas, enam perak dan empat gangsa untuk kontinjen negara.

Shahidan turut mencadangkan Majlis Sukan Negara (MSN) untuk menaikkan jumlah insentif kewangan kepada pemenang pingat emas sukan Sea daripada RM5,000 kepada RM20,000.

"Negara-negara lain telah memberikan insentif yang jauh lebih baik daripada Malaysia. Indonesia tawarkan 20,000 Dolar Amerika, Vietnam, Thailand dan Singapura menawarkan 10,000 Dolar Amerika malah negara kecil seperti Laos tawarkan 1,800 Dolar Amerika," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain