suria

Shahidan Gesa Renang Dan Olahraga Turut Diiktiraf Sebagai Sukan Rakyat

KUALA LUMPUR: Presiden Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) dan Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM), Datuk Seri Shahidan Kassim menggesa kedua-dua sukan terbabit turut diiktiraf sebagai sukan rakyat seperti bola sepak.

Ini kerana atlet-atlet renang dan olahraga telah menyumbang 21 daripada 40 pingat emas yang dicapai oleh kontinjen negara di Sukan SEA yang berlangsung di Laos pada Disember tahun lepas.

"ASUM telah menyumbang 15 pingat emas iaitu sembilan di dalam acara renang dan enam di dalam acara terjun manakala KOAM pula meraih enam pingat emas pada temasya itu.

"Kalau sukan rakyat seperti bola sepak diberi pertimbangan untuk menerima bantuan, maka kita tidak boleh berbanggalah apabila mendapat pingat emas yang banyak," katanya di sini hari ini.

Kerajaan sebelum ini mengiktiraf bola sepak sebagai sukan yang popular di negara ini terutamanya selepas meraih pingat emas di Laos sekaligus menamatkan penantian 20 tahun negara.

Sehubungan itu, kerajaan memberi geran RM10 juta kepada tabung Pembangunan Bola Sepak dengan tujuan meningkat dan mengemaskan lagi sukan tersebut di peringkat akar umbi.

Shahidan berkata di dalam sukan olahraga sendiri terdapat acara-acara yang menjadi tumpuan rakyat.

"Saya akan mengadakan satu dialog pada minggu depan bersama-sama dengan pengurusan ASUM dan KOAM bagi membincangkan perkara ini," katanya.

Sementara itu, beliau turut menyambut baik keputusan kerajaan untuk mengkaji semula Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam) seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Selasa lepas.

Beliau sebelum ini pernah membangkitkan perkara terbabit dengan membandingkan insentif-insentif yang diberikan oleh negara-negara lain di Asia Tenggara di mana Malaysia antara yang terendah. -BERNAMA

Artikel Lain