KUCHING: Sebanyak 200 atlet istimewa dari seluruh negeri ini akan berhimpun di Sibu dari 16 hingga 18 April ini bagi edisi kedua Sukan Olimpik Khas Negeri Sarawak.Menteri di Pejabat Ketua Menteri Datin Fatimah Abdullah hari ini berkata mereka akan bertanding dalam lima acara utama trek dan balapan, bocce, bola sepak 5-A-sebelah, renang dan boling di Stadium Tun Zaidi, Sibu Superbowl dan Kolam Renang SMC Bukit Lima. Sebanyak 100 jurulatih dan pegawai dan kira-kira 200 sukarelawan juga akan terbabit, katanya dan menurutnya juga akan diadakan pertunjukan tiga jenis sukan badminton, ping pong dan lumba basikal.Program Atlet Sihat, yang disokong Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (Unicef), akan diadakan di Stadium Tun Zaidi untuk membantu atlet istimewa meningkatkan kecergasan dan kesihatan mereka yang akan membawa kepada peningkatan kesejahteraan, kualiti kehidupan dan prestasi dalam sukan.Para atlet akan menerima pelbagai penilaian dan perkhidmatan kesihatan dalam suasana persekitaran santai dan menyeronokkan, kata Fatimah, yang juga pengerusi Olimpik Khas Malaysia (SOM) Sarawak, pada sidang akhbar di sini.Temasya sukan itu diadakan dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Sosial dan Urbanisasi, Jabatan Pelajaran negeri dan Jabatan Kesihatan negeri.Olimpik Khas atau "Special Olympics" merupakan usaha antarabangsa khusus untuk memperkasakan golongan yang lemah daripada segi akal pemikiran untuk menjadi sihat dan cergas, produktif dan menjadi anggota masyarakat yang dihormati melalui latihan dan pertandingan sukan. - BERNAMA