PUTRAJAYA: Sebelas gelanggang serbaguna yang baru dibina di Presint 18 dekat sini bakal menjadi tumpuan para penggiat sukan, terutama sukan futsal untuk menganjurkan kejohanan besar, selain menjadi pusat aktiviti belia di kawasan itu.Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata gelanggang yang dibina dengan kos RM3.45 juta itu akan dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk surau, kafeteria, bilik persalinan dan pentas berbumbung. "Dengan adanya kemudahan seperti ini di Putrajaya, saya percaya ia juga akan memberi tambah nilai dan manfaat kepada masyarakat setempat," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pra-perasmian dan melawat tapak gelanggang berkenaan hari ini.Beliau berkata pembinaan 11 gelanggang serbaguna itu akan disempurnakan sebelum 1 Mei ini bagi digunakan pada Hari Belia Negara yang akan berlangsung di Putrajaya pada 14 hingga 16 Mei ini."Pembinaan kemudahan berbumbung yang lain seperti surau, kafeteria, pentas dan sebagainya akan kita mulakan pada bulan Jun dan dijangka siap pada November atau Disember ini," katanya.Menurut Ahmad Shabery, selain futsal, gelanggang serbaguna itu juga sesuai untuk sukan lain seperti bola keranjang, bola jaring dan 'dodgeball' serta boleh digunakan untuk aktiviti semangat berpasukan.Beliau berkata kerajaan setakat ini telah membina lebih 1,200 gelanggang futsal di seluruh negara berikutan minat para belia pada sukan itu.Beliau berkata kementerian memantau pembinaan gelanggang-gelanggang bagi memastikan pembinaan memenuhi spesifikasi ditetapkan."Setiap gelanggang yang dibina akan disahkan oleh KBS (Kementerian Belia dan Sukan)."Mana-mana gelanggang yang tidak mematuhi spesifikasi, bayaran tidak akan diberi kepada kontraktor terlibat," katanya. - BERNAMA