KANGAR: Ketua jurulatih Perlis yang baru, Yunus Aliff tidak meletakkan harapan tinggi sebaliknya sasaran realistik untuk membawa pasukan itu menduduki ranking tiga pasukan terbaik Liga Super musim ini.Bagaimanapun, bekas jurulatih Terengganu itu mengakui bakal berdepan cabaran berat bersama skuad Singa Utara itu apatah lagi memenuhi cita-cita Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) untuk membawa pulang Piala Malaysia. Katanya perkara itu bukan mustahil bagi Perlis melengkapkan kedudukan terpuji musim ini sekiranya kesungguhan dan komitmen pemain terserlah pada setiap baki 17 perlawanan pada musim ini.Perlis kini menduduki tangga kesembilan dalam liga.Yunus dilantik sebagai ketua jurulatih bagi menggantikan Mohd Nidzam Adzha Yusoff yang dilantik sebagai Pengarah Kejurulatihan Perlis.Yunus berkata tugas pertamanya bersama skuad Singa Utara ialah memastikan kemenangan Perlis ke atas KL PLUS di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MPPJ) Sabtu ini.Jurulatih berpengalaman itu berkata kontraknya selama setahun bersama Perlis akan dimanfaatkan sebaik mungkin untuk meletakkan Perlis pada kedudukan yang terbaik.Katanya, beliau perlu membalas keyakinan PFA yang sudi melamarnya di tengah musim untuk membimbing skuad itu.Mengenai pendekatan latihannya, Yunus berkata, beliau mementingkan interaksi dua hala bagi memastikan persefahaman dan hasrat yang diinginkan dapat dilaksanakan oleh pemain."Saya lebih suka jika para pemain sentiasa berbincang dengan saya," katanya.Katanya Perlis mempunyai bakat-bakat baru dan juga pemain berpengalaman yang mana gabungan tenaga mereka boleh diketengahkan untuk mengatur strategi pada setiap pelawanan. - BERNAMA