suria

Skuad Piala Thomas, Uber Disahkan Bebas H1N1

KUALA LUMPUR: Institut Sukan Negara (ISN) hari ini mengesahkan bahawa semua 40 anggota yang terlibat secara terus dalam misi bagi merampas Piala Thomas dan Uber tahun ini yang termasuk pemain, jurulatih dan pegawai sokongan lain, bebas daripada jangkitan virus Influenza A (H1N1).

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Ramlan Aziz berkata, ujian yang dilakukan bersama Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan (JKWP) ketika sesi latihan pusat di Stadium Juara, Bukit Jalil pagi ini berjalan dengan lancar.

"Walaupun ujian kali kedua ini menunjukkan bahawa tiada anggota skuad yang positif H1N1, ISN bersama JKWP tetap akan berterusan membuat pemantauan bagi mengelak daripada sebarang risiko jangkitan kalangan anggota skuad itu," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata, bagi memastikan kesihatan para pemain yang akan bertanding di kejohanan itu nanti sentiasa berada dalam keadaan baik, satu pasukan perubatan akan ditempatkan di hotel penginapan semua pemain dari luar negara bagi memantau kesihatan mereka.

"Kesihatan pemain-pemain dari luar negara yang kebanyakanya akan sampai pada Jumaat ini akan dipantau bagi menjaga kesihatan mereka," katanya.

Skuad badminton dari China dijadualkan tiba di ibu negara esok.

Persiapan skuad kebangsaan untuk kejohanan berprestij itu sebelum ini dilihat agak terjejas sedikit apabila jurulatih perseorangan negara Rashid Sidek dan anak perempuannya yang berusia lima tahun disahkan positif H1N1 Sabtu lepas dan mereka kini mendapat rawatan di sebuah hospital swasta.

Semalam isteri Rashid dan anaknya berusia 13 bulan dikuarantin di hospital setelah disahkan positif H1N1.

Ramlan seterusnya berkata, orang ramai yang hadir untuk menonton kejohanan Piala Thomas dan Uber yang berlangsung di Stadium Putra dari 9 hingga 16 Mei ini tidak perlu risau mengenai jangkitan penyakit itu kerana menurutnya keadaan kini terkawal.

"Orang ramai tidak perlu risau dengan risiko jangkitan selagi mereka mengamalkan langkah pencegahan yang disarankan oleh pihak Kementerian Kesihatan seperti mana yang diamalkan sebelum ini," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain