suria

ATP Terbuka Malaysia: Nazim Berpasangan Dengan Davydenko

KUALA LUMPUR: Pemain tenis kebangsaan, Nazim Khan dipilih oleh Persatuan Lawn Tennis Malaysia (LTAM) untuk bergandingan dengan Nikolay Davydenko dari Rusia atas tiket wildcard dalam undian utama kategori beregu pada Jelajah Dunia ATP Terbuka Malaysia yang akan berlangsung bermula 25 September hingga 3 Oktober ini.

Buat julung kalinya pemain Malaysia diberi peluang berpasangan dengan pemain yang menduduki ranking 10 terbaik ATP, Nazim mengakui berasa gembira dan pada masa sama gementar untuk menggalas tanggungjawab yang diberikan.

"Saya amat gembira dan merasa bertuah kerana dapat berpasangan dengan pemain ranking keenam dunia. Sudah semestinya saya akan cuba melakukan yang terbaik bersama Davydenko dan memenuhi harapan peminat," katanya ketika ditemui pemberita selepas taklimat media mengenai kejohanan itu di sini, Khamis.

Pemain berusia 17 tahun itu pernah berentap pada kejohanan sama tahun lalu dalam kategori perseorangan tetapi tersingkir pada pusingan pertama.

Nazim berkata, peluang kedua yang diberikan kali ini sedikit sebanyak menjadi perangsang buat dirinya untuk cuba melayakkan diri ke peringkat seterusnya.

Berbekalkan pengalaman yang diperoleh ketika mewakili negara pada Piala Davies Remaja dan beberapa kejohanan di luar negara, Nazim berazam untuk memperbaiki rentak permainannya.

Selain Nazim, Siyew Ming, 31, turut mengisi slot wildcard dalam kategori perseorangan pada kejohanan yang turut menampilkan beberapa pemain ternama seperti Robin Soderling, Tomas Berdych, David Ferer, Mikhail Youzhny, Lleyton Hewitt, Marcos Baghdatis dan pemain nombor satu Asia, Lu Yen-Hsun.

Kejohanan itu menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah US$947,750 (RM3,345,557).

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain