suria

Zamri Harap Kelebihan Tuan Rumah

PELUMBA wildcard negara, Mohd Zamri Baba (gambar) tidak meletakkan harapan tinggi samada mencapai podium mahupun kedudukan 10 pelumba terbaik pelumbaan akhir dalam penampilan sulung kelas Moto2 sempena Grand Prix Motosikal Malaysia 2010 yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang pada 8 hingga 10 Oktober ini.

Namun dia masih berharap berlumba di gelanggang sendiri mampu memberi kelebihan dan percaya bahawa ia adalah sesuatu yang kurang munasabah untuk mencipta kejayaan dalam masa singkat.

Tambahan dia akan bersaing dengan nama-nama besar yang rata-rata memiliki sekuran-kurangnya lima musim pendedahan dalam saingan di pentas MotoGP seperti Toni Elias, Julian Simon, Andrea Iannone, Thomas Luthi mahupun Simone Corsi.

“Saya tidak berasa bimbang mengenai trek Sepang sepanjang 5.548 kilometer yang merangkumi 10 selekoh kanan dan lima selekoh kiri sambil laluan lurusnya sepanjang 920 meter.

“Bersandarkan pengalaman dalam siri Kejuaraan Malaysia Super Series (MSS) yang menggunakan keseluruhan trek ini, ia nyata memberi kelebihan buat saya.

"Saya harap dengan kemahiran yang saya ada mengenai trek ini bakal memberi kelebihan buat saya berbanding dengan sebilangan pelumba Moto2 yang tidak pernah berlumba di Sepang,” ujar Zamri yang memulakan karier motosikal pada tahun 2003.

Selain pengalaman luas dalam selok belok mengenai keadaan trek ini, Zamri berpendapat keadaan cuaca turut menjadi satu lagi kelebihan buat dirinya.

“Panas, lembab atau hujan, cukup sinonim dengan saya,” ujarnya. Saya berlumba di halaman sendiri dan sudah tentu faktor cuaca bukan sesuatu yang asing buat saya. Walaupun cuaca di sebelah pagi cukup panas dan hujan di sebelah petang saya pasti tidak berdepan dengan sebarang masalah.

Bagaimanapun, Zamri masih berharap keadaan cuaca mampu memihak kepadanya.

“Buat masa sekarang, keadaan cuaca jelas tidak menentu namun saya harap cuaca cerah menjelang sesi latihan bebas. Ini disebabkan, saya memerlukan sedikit masa untuk memahami karektor jentera itu sendiri dan perlu menggunakan jenis tayar perlumbaan.

“Saya akui, ia bukan sesuatu yang mudah namun saya harap mampu memberi persembahan terbaik dan memastikan penyokong Malaysia tidak hampa dan begitu juga pada pihak yang merealisasikan impian saya,” janji Zamri.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain