suria

Terengganu Tubuh Pasukan Lumba Basikal Profesional

KUALA TERENGGANU: Pasukan lumba basikal profesional Terengganu yang dibentuk oleh kerajaan negeri Terengganu akan dinamakan Terengganu Pro-Asia Cycling Team (TPCT).

Menteri Besar Datuk Seri Ahamd Said berkata dengan peruntukan awal sebanyak RM1.5 juta, pasukan itu bukan sahaja akan dianggotai oleh pelumba dari Terenggnau, malah turut disertai pelumba profesional dari Jepun, Korea, Thailand dan Taiwan.

"Buat permulaan kita sudah dapat seorang pelumba dari Jepun. Yang lain, seorang masing-masing dari Korea dan Tahiland dan dua pelumba dari Taiwan akan menyusul.

"Sehingga ini kita sudah daftar seramai 14 pelumba pasukan TPCT dengan Kesatuan Basikal Antarabangsa (UCI) untuk membolehkan pasukan itu mengikuti latihan dan seterusnya menyertai pertandingan di peringkat antarabangsa," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco Kerajaan Negeri di sini, Rabu.

Ahamd berkata, pasukan itu telahpun menerima tajaan daripada sebuah syarikat dari Korea berjumlah US$250,000 setahun dengan menyediakan basikal serta peralatan, pakaian dan makanan tambahan.

"Kita juga sedang menimbang untuk menerima dua lagi penajaan syarikat dari Korea dan Jepun yang berpangkalan di Singapura," katanya.

Ahmad berkata Terengganu, yang merupakan negeri pertama menubuhkan pasukan basikal profesional, bukan sahaja dijangka terlibat dalam perlumbaan antarabangsa seperti Le Tour de Langkawi (LTdL) tetapi juga menyertai pertandingan di peringkat antarabangsa yang lain.

Beliau berkata, Australia adalah menjadi pilihan untuk pasukan TPCT berlatih di mana pelumba terpaksa mengikuti latihan yang amat ketat dan penuh disiplin.

Mengenai satu perkara lain, Ahmad memberi kata dua kepada Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) supaya meningkatkan prestasi pasukan itu, jika tidak mahu peruntukan untuk persatuan itu dipotong.

Katanya ia memandangkan pasukan Terengganu itu sejak akhir-akhir ini menunjukkan prestasi yang kurang memuaskan dan sering kalah dalam pertandingan Piala Malaysia walaupun bermain di gelanggang sendiri.

"PBSNT sekarang bergantung penuh kepada kerajaan negeri. Kalau mereka tidak dapat menunjukkan kemajuan dan peningkatan, kita akan potong bajet mereka," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain