Zulfahmi bersedia menjalani sesi latihan bebas bagi kategori 125cc. Foto The Star/MOHD SAHAR MISNISEPANG: Pelumba negara Mohd Zulfahmi Khairuddin, yang mewakili pasukan AirAsia-Sepang International Circuit Racing, berharap prestasi konsisten yang dipamerkannya pada sesi latihan bebas Grand Prix Motosikal Malaysia, Jumaat dapat diteruskan pada sesi kelayakan, Sabtu.Pada sesi latihan, Jumaat, Zulfahmi mencatatkan masa 2 minit 17.444 saat untuk berada di kedudukan ke-16 daripada 26 pelumba. Ketika ditemui pemberita selepas itu, Zulfahmi berkata beliau sangat gembira dengan keputusan itu."Saya berpuas hati dapat di tempat ke-16 secara keseluruhan pada sesi latihan bebas kerana pada kejohanan tahun lepas saya mendapat tempat ke-19."Sebelum ini saya telah beraksi di litar ini dan ini sedikit sebanyak dapat meredakan tekanan dan gementar yang dirasai sebelum ini malah saya yakin membuat catatan masa lebih baik pada Sabtu," katanya.Zulfahmi berpendapat keadaan cuaca turut menjadi satu lagi kelebihan buat dirinya untuk membuat persembahan terbaik pada sesi kelayakan, Sabtu."Saya harap pada sesi kelayakan Sabtu, cuaca kurang panas dan tidak hujan akan membolehkan saya membuat yang terbaik dengan meletakkan diri dalam kelompok 15."Saya hampir terjatuh dalam sesi latihan tadi kerana cuaca yang kering dan panas membuatkan tayar berlaku kegelinciran kerana kurang mencengkam. Maka saya mengambil keputusan menukar tayar baru dalam 10 lap yang terakhir tadi," katanya.Selepas 13 kejohanan, beliau mengutip tiga mata, masing-masing satu mata di Litar Jerez, Sepanyol pada Mei, Sachsenring, Jerman pada Julai, dan Brno, Republik Czech pada Ogos.Pelumba Sepanyol Marc Marquez, pemenang Grand Prix Motegi Jepun minggu lepas dari pasukan Red Bull Ajo Motorsport, mencatat masa terpantas dengan masa 2 minit 14.274 saat manakala pendahulu kategori 125cc musim ini, pelumba Sepanyol, Nicolas Terol dari Bancaja Aspar Team berada di tempat ketiga dengan 2:14.650s.Seorang lagi pelumba Sepanyol Pol Espargaro dari Tuenti Racing berada di tempat kedua. - BERNAMA