NEW DELHI: Bryan Nickson Lomas dan Yeo Ken Nee akhirnya menamatkan kemarau pingat dalam acara terjun lelaki selepas meraih pingat gangsa dalam acara 3m papan anjal terjun serentak pada Sukan Komanwel XIX di Kompleks Akuatik Dr. SP Mukherjee di sini, Selasa.Mereka mencatatkan mata keseluruhan 404.64 untuk memenangi satu-satunya pingat dalam acara terjun bagi Malaysia, Selasa. Alexandre Despatie dan Reuben Ross dari Kanada memenangi pingat emas dengan 430.35 mata manakala Matthew Mitcham dan Ethan Warren dari Australia meraih pingat perak dengan 424.47 mata.Dalam acara 10m platform terjun serentak lelaki, Ooi Tze Liang dan Abdul Rashid Muhammad menduduki tempat keempat.Max Brick dan Tom Daley dari England memenangi pingat emas dengan catatan mata 439.65; pingat perak menjadi milik Matthew Mitcham dan Ethan Warren dari Australia (423.81 mata) manakala Eric Sehn dan Kevin Geyson (394.80) meraih pingat gangsa.Sementara itu, Leong Mun Yee dan Cheong Jun Hoong, masing-masing menduduki tempat ketujuh dan kesepuluh selepas memungut 262.10 dan 235.80 mata dalam acara 1m papan anjal wanita.Jennifer Abel dari Kanada memenangi pingat emas dengan 301.75 mata, mengatasi Sharleen Stratton dari Australia (299.15 mata) dan Emilie Heymans dari Kanada (296.10). - BERNAMA