KUALA TERENGGANU: Jeremy Khoo dari pasukan Koo Racing-Team-Evernew menafikan adik perempuannya Tiffany gelaran hatrik apabila menjuarai Kejohanan Lumba Layar Malaysia (MMRC) 2010 di Pulau Duyong, di sini, Sabtu.Kemenangan itu membolehkan Jeremy mendapat tempat dalam Piala Monsun yang akan diadakan di tempat sama mulai 30 Nov hingga 5 Dis ini. Jeremy, yang menjadi krew Tiffany ketika adik perempuannya itu menjuarai MMRC pada 2006 dan 2007, mengatasi adiknya dengan keputusan 3-0 pada perlumbaan akhir.Selepas menduduki tempat ketiga pada edisi tahun lepas, Jeremy mengakui beliau bernasib baik kerana tiupan angin yang kuat hari ini telah membolehkan beliau mencapai kejayaan."Saya sungguh bangga kerana akhirnya menang. Krew pasukan cukup bagus sekali hari ini tetapi sedikit sedih kerana mengatasi adik saya."Dia (Tiffany) tidak bernasib kerana tiupan angin yang kuat membantu saya," kata Jeremy pada sidang akhbar selepas perlumbaan itu.Menurutnya beliau akan berlepas ke Hong Kong untuk melakukan persediaan bagi menghadapi Piala China dan mengikuti latihan bersama skuad Sukan Asia Korea Selatan sebelum bertanding pada Piala Monsun.Sementara itu, Tiffany, yang tidak beraksi pada MMRC sejak dua tahun lepas, berkata beliau tidak menjangka layak ke separuh akhir mahupun akhir kerana keputusan untuk kembali semula dibuat pada saat-saat akhir.Tiffany melangkah ke perlumbaan akhir selepas menewaskan juara bertahan Hazwan Hazim Dermawan (Team Pulse-AC Law) 3-1 pada saingan separuh akhir.Kejohanan Match Racing Asia (AMRC) akan bermula Isnin hingga Khamis ini di mana juara kejohanan itu akan mendapat tempat pada Piala Monsun.Selain itu, pelayar kelayakan ketiga adalah pemenang Piala Sunseeker Australia dari 24 hingga 27 Nov ini manakala Jelajah World Match Racing (WMRT)akan memberi satu tiket 'wildcard'.Piala Monsun merupakan peringkat akhir WMRT di mana lima pelayar masih mempunyai peluang untuk dinobatkan juara dunia musim ini.-BERNAMA