JOHOR BAHARU: Pemburuan Karamjit Singh untuk merebut gelaran juara keseluruhan Rali Malaysia semakin dalam genggaman selepas kemenangan meyakinkan peringkat pembukaan pusingan ketiga Rali Malaysia di Tasik Kenyir, Terengganu.Kemenangannya hari ini menjadikan pelumba rali terkemuka negara itu sebagai pencabar utama bagi juara keseluruhan dengan kejohanan terakhir pada pusingan keempat dan terakhir di Kangar pada pertengahan Disember. Bersama juru pandu arah Douglas Pickering, kedua-duanya yang menggunakan kereta Mitsubishi Lancer, mendahului perlumbaan sejauh 43.5km setelah menempuh laluan sukar dan berlumpur serta hujan lebat untuk mencatat kemenangan dalam masa 57 minit 03.8 saat.Di tempat kedua adalah pelumba Jepun, Katsu Taguchi dan juru pandu arah Jagdev Singh, yang juga memandu kereta Mitsubishi Lancer dengan catatan masa 1 jam 01 minit 13.4 saat, membolehkan Karamjit mendahului tiga minit awal mengatasi 22 peserta lain di peringkat kedua dan penentuan pada Ahad.Menduduki tempat ketiga adalah pasangan pemandu India-Malaysia, Lohit Urs dan Manohar Menon, yang memandu kereta serupa dengan catatan masa 1'04:14.3s.Pendahulu keseluruhan selepas berakhirnya dua pusingan awal di Johor Baharu dan Jempol, Muhammad Rafiq Udhaya yang memandu Subaru Impreza, berada di tempat keempat dengan catatan masa 1'04:38.1s. Muhammad Rafiq dan juru pandu arah Sean Gregory perlu bekerja keras jika ingin mengekalkan kedudukan sebagai pendahulu keseluruhan.Muhammad Rafiq memperoleh 24 mata, lapan mata di hadapan Karamjit (16) yang berada di tempat kedua manakala Taguchi di tempat ketiga dengan 11 mata. - BERNAMA