Zamri Baba yakin prestasi di Zhuhai.ZHUHAI: Pelumba 'wildcard' Moto2 negara, Mohd Zamri Baba akan mempergunakan segala pengalaman bagi terus mengejar gelaran juara keseluruhan kelas SuperSports 600cc siri Kejuaraan Motosikal Asia PETRONAS pada Pusingan 5 yang berlangsung di Litar Antarabangsa Zhuhai, China 29 hingga 31 Oktober ini.Pelumba pasukan PETRONAS Yamaha Malaysia yang ketika ini berkongsi kedudukan di tempat ketiga dengan 87 mata bersama rakan sepasukan Azlan Shah Kamaruzaman menyifatkan peluangnya untuk merangkul mahkota keseluruhan masih cerah. "Masih terdapat dua pusingan lagi untuk ditempuhi dengan keseluruhan empat perlumbaan."Ini bermakna masih terdapat 100 mata untuk dikumpul dan buat masa ini, Decha Kraisart (PETRONAS Yamaha Thailand) menerajui kedudukan keseluruhan dengan 108 mata diikuti rakan sepasukan, Chalermpol Polamai dengan 90 mata,” ujar Zamri yang menamatkan cabaran Moto2 di tempat ke-22 dari 39 pelumba.Pelumba berusia 27 tahun itu menekankan persaingan bagi merebut tempat teratas cukup sengit dan masih terbuka luas.Menurut Zamri, "Decha memiliki kelebihan 21 mata oleh itu saya perlu menamatkan perlumbaan di depannya. Ia bukan sesuatu yang mudah tetapi hanya dengan cara itu saya boleh mengurangkan defesit mata tersebut."Jelas ia merupakan satu cabaran yang cukup sengit antara saya, Decha, Chalermpol dan Azlan kerana sebelum ini kami semua pernah menaiki podium di Zhuhai dan dari segi persembahan pula, kami berada pada tahap yang sama."Kami juga perlu berwaspada dengan Ahmad Fuad Baharudin yang sebelum ini mencipta dua kemenangan berturut-turut di Zhuhai tahun lepas."Ketika diajukan strateginya menjelang perlumbaan di Zhuhai hujung minggu ini, Zamri menjelaskan, "Saya akan menggunakan pengalaman yang diperolehi sepanjang perlumbaan Moto2 di Kejuaraan Grand Prix Motosikal (MotoGP) dan berusaha memperbaiki kelemahan saya seperti yang ditunjuk Pengarah Mirowaki Engineering Co.Ltd, Mamoru Moriwaki."Selain itu, pengalaman saya di pentas MotoGP menjadi motivasi terbaik buat saya untuk meneruskan usaha di Zhuhai. Saya akan memberi sepenuh perhatian pada perlumbaan ini dan akan berusaha sebaik mungkin untuk mencapai sasaran peribadi saya."Menyentuh mengenai cabaran di Zhuhai kelak, Zamri berkata dia mensasarkan untuk sekurang-kurangnya berada di atas podium."Saya perlu menamatkan cabaran dikalangan tiga pelumba terbaik perlumbaan."Berdasarkan keputusan musim lepas, sasaran tiga tempat teratas adalah realistik kerana saya pernah meraih podium naib juara Perlumbaan 2 (Pusingan 5) dan juara pada Perlumbaan 1 (Pusingan 6) musim lepas," tambah Zamri.