suria

Norsharul Dinobatkan Pemain Terbaik Kebangsaan

Barisan pemenang Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 100Plus/FAM 2010, dari kiri B.Sathianathan, Khairul Fahmi Che Mat , Norsharul Idlan Talaha , Baddrol Bakhtiar dan Mohd Aidil Zafuan Abdul Razak. Foto: S.S.KANESAN/The Star
Barisan pemenang Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 100Plus/FAM 2010, dari kiri B.Sathianathan, Khairul Fahmi Che Mat , Norsharul Idlan Talaha , Baddrol Bakhtiar dan Mohd Aidil Zafuan Abdul Razak. Foto: S.S.KANESAN/The Star
Barisan pemenang Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 100Plus/FAM 2010, dari kiri B.Sathianathan, Khairul Fahmi Che Mat , Norsharul Idlan Talaha , Baddrol Bakhtiar dan Mohd Aidil Zafuan Abdul Razak. Foto: S.S.KANESAN/The Star

PETALING JAYA: Penyerang pasukan Kelantan, Norsharul Idlan Talaha dinobatkan sebagai Pemain Terbaik sekali gus membawa balik wang tunai RM3,000 pada Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 100Plus/FAM 2010, Selasa.

Norsharul yang juga penyerang kebangsaan dipilih berdasarkan prestasi cemerlangnya bukan sahaja ketika beraksi mewakili Kelantan malah turut cemerlang ketika menyarung jersi negara.

“Saya bersyukur dan gembira dengan anugerah ini dan ia merupakan semangat untuk saya mempamerkan aksi lebih baik selepas ini, lebih-lebih lagi skuad negara akan beraksi pada Sukan Asia dan Piala Suzuki AFF bulan ini,” katanya kepada mStar Online.

Katanya, dia berterima kasih kepada semua terutama sekali rakan sepasukan yang telah membantunya dalam setiap perlawanan.

Sementara itu, kategori Jurulatih Terbaik diraih oleh B.Sathianathan juga dari pasukan Kelantan yang baru dinobatkan sebagai juara Piala Malaysia Sabtu lalu.

“Anugerah ini sangat bermakna dan saya mengucapkan terima kasih kepada keluarga, presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa dan paling penting pemain-pemain yang telah menunjukkan komitmen yang tinggi dalam setiap perlawananan musim 2010 ini,” katanya.

Bagi kategori Pertahanan Terbaik, Mohd Aidil Zafuan Abdul Razak (Negeri Sembilan) berjaya mengetepikan calon-calon lain apabila buat dua tahun berturut-turut trofi kemenangan ini menjadi miliknya.

Manakala kategori Pemain Tengah Terbaik, pemain dari Kedah, Baddrol Bakhtiar menjadi pilihan untuk meraih anugerah ini berdasarkan kemampuannya di atas padang.

Selain itu, seorang lagi pemain Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat menjadi pilihan untuk meraih dua anugerah iaitu Penjaga Gol Terbaik dan Pemain Muda Terbaik.

“Saya sangat teruja kerana dalam masa sama dapat meraih dua anugerah dan saya tidak menjangka nama saya menjadi pilihan ahli-ahli panel kerana saya masih baru beraksi di peringkat negeri.

“Pun begitu saya yakin anugerah ini menjadi pemangkin bagi saya untuk menunjukkan aksi terbaik untuk pasukan negara,” katanya yang turut dipilih untuk membarisi skuad negara.

Senarai penuh pemenang Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 100Plus/FAM 2010:

1. Pemain/Penyerang Terbaik : Norsharul Idlan Talaha (Trofi + RM3,000)

2. Pertahanan Terbaik : Mohd Aidil Zafuan Abd Razak (Trofi + RM500)

3.Penjaga Gol Terbaik : Khairul Fahmi Che Mat (Trofi + RM500)

4. Pemain Tengah Terbaik : Baddrol Bakhtiar (Trofi + RM500)

5.Pemain Muda Terbaik : Khairul Fahmi Che Mat (Trofi + RM500)

6. Jurulatih Terbaik : B.Sathianathan (Trofi +RM500)

7.Kelab Terbaik : Johor FC

8.Persatuan Bola Sepak Terbaik : Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS)

9. Kelab Penyokong Terbaik : Persatuan Bola Sepak Kedah

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain