suria

Tuanku Mizan Ketuai Cabaran Sukan Berkuda Piala Sultan Terengganu

SETIU: Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin mengetuai 68 pelumba termasuk 10 peserta asing pada Kejohanan Kuda Lasak Piala Sultan Terengganu 2010 di Taman Endurance Antarabangsa Terengganu (TIEP) di Lembah Bidong, di sini, Sabtu.

Kejohanan edisi kelima itu dilepaskan oleh Seri Paduka Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah, pada pukul 5.30 petang ini.

Turut serta dalam perlumbaan sejauh 160km dan dijangka mengambil masa antara 10 dan 12 jam itu adalah 10 pelumba asing dari sembilan negara termasuk dari Australia, Chile, Amerika Syarikat, Perancis, Indonesia dan Uruguay.

Pasukan Malaysia antara lain diwakili oleh Ar-Raudah Equine Centre, The Langkawi Endurance Stable, Masterscaff Endurance Team, Tengku Mahkota Kelantan Endurance Team dan Perlis TSAB Stable.

Juara perlumbaan itu akan menerima hadiah wang tunai RM30,000 serta sebuah jam tangan jenis Amaswiss manakala naib juara pula akan menerima RM20,000 dan RM10,000 bagi pelumba di tempat ketiga.

Kejohanan itu dianjurkan bersama oleh kerajaan negeri Terengganu dan Royal Terengganu Endurance Stable (RTES).

Sementara itu, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said, berkata kejohanan tahunan itu telah memacu pembangunan sukan tahan lasak dan meningkatkan tahap kesedaran sukan ekuestrian di kalangan rakyat Malaysia.

Kejohanan itu juga telah menyumbang ke arah membina Terengganu sebagai hab ekuestrian di negara ini serta diiktiraf oleh Persekutuan Ekuestrian Antarabangsa (FEI).

Sempena dengan kejohanan dua hari itu, pesta dengan tema 'Karnival Kuda bersongket' juga berlangsung dengan persembaan artis tempatan, kebudayaan dan bengkel kraftangan. - BERNAMA

Artikel Lain