KUALA LUMPUR: Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM) menafikan pihaknya bertanggungjawab ke atas kelewatan pendaftaran atlet olahraga 400 meter lari berpagar negara, Noraseela Khalid ke Sukan Asia, Guangzhou sebaliknya menyalahkan perkara itu kepada pihak Majlis Sukan Negara (MSN).Timbalan Presiden KOAM, Karim Ibrahim mendakwa bahawa pihaknya menghantar penyertaan akreditasi nama Noraseela kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) pada 20 Jun tetapi agak memeranjatkan apabila MSN menuduh KOAM tidak mendaftar nama Noraseela ke temasya di Guangzhou. Laporan akhbar tempatan sebelum ini melaporkan KOAM lewat mendaftarkan nama Noraseela sehingga melepasi tarikh tutup pendaftaran ke Sukan Asia yang tamat pada Selasa lepas."Saya kesal dengan sikap Ketua Pengarah MSN Datuk Zolkples Embong yang sengaja menyalahkan KOAM bagi mencari populariti di dada media, sebaliknya tidak berbuat apa-apa untuk membantu KOAM."Beliau (Zolkples) yang juga ketua kontinjen negara ke Sukan Asia sepatutnya lebih prihatin kepada perkara ini kerana sikapnya menyebabkan imej Presiden KOAM Datuk Seri Shahidan Kassim dan KOAM sendiri tercalar," katanya kepada Bernama ketika ditemui di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Selasa.Karim berkata beliau yakin dengan kemampuan pemenang pingat gangsa Sukan Asia Doha itu sebagai taruhan terbaik negara."Pihak KOAM telah memberikan latihan persiapan yang secukupnya kepada Noraseela dan lima lagi atlet olahraga lain yang akan ke Guangzhou atas tiket di bawah kategori B," katanya.Beliau berkata Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia, hujung minggu lalu yang dianjurkan oleh KOAM merupakan kejohanan pemanas badan Noraseela sebelum ke Guangzhou.Apabila ditanya mengenai senarai lima lagi atlet olahraga yang bertanding dalam kategori B, Karim berkata beliau tidak boleh mengumumkan nama kelima-lima atlet olahraga kerana mahukan mereka lebih bersedia."Kita akan umumkan barisan lima lagi atlet ke Guangzhou dalam masa terdekat apabila tiba masanya nanti," katanya.Mengikut peraturan Majlis Olimpik Malaysia (MOM), atlet yang layak secara merit ke sesuatu temasya diletakkan di bawah kategori A dengan segala perbelanjaan ditanggung oleh MOM.Bagi atlet yang tidak layak secara merit tetapi turut diberi peluang untuk beraksi diletakkan dalam kategori B, dengan perbelanjaan ditanggung oleh persatuan.Selain daripada Noraseela, enam lagi atlet olahraga akan bertanding dalam kategori A dan mereka ialah Lee Hup Wei (lompat tinggi), Roslinda Samsu (lompat bergalah) dan kuartet 4x100m wanita (Siti Zubaidah Adabi, Norjannah Hafiszah Jamaludin, Nurul Sarah Abdul Kadir dan Yee Yi Ling). - BERNAMA