ANDY Carroll (gambar) mempunyai peluang cerah untuk mewakili England selepas penyerang Newcastle itu diketepikan daripada skuad bawah 21 tahun ketika bertemu Jerman pada perlawanan persahabatan, Selasa ini.Penyerang berusia 21 tahun itu sering menjadi buruan Fabio Capello untuk memperkuat England ketika bertemu Perancis pada Rabu dan pengugurannya daripada skuad muda Three Lions menguatkan lagi peluangnya beraksi di samping pemain senior. Carroll disisihkan oleh ketua jurulatih Stuart Pearce pada aksi play off Kejuaraan UEFA bawah 21 tahun menentang Romania bulan lalu.Pearce dilaporkan bertindak demikian kerana tidak berpuas hati berhubung keputusan Carroll menarik diri pada perlawanan kelayakan Kejuaraan bawah 21 tahun bertemu Portugal dan Lithuania.Selepas mempamerkan aksi bertenaga bersama Newcastle dengan menjaringkan tujuh gol dalam 12 penampilan, Carroll mula membuka mata ramai pihak.Aksi cemerlang Carroll menyebabkan Capello mempertimbangkan keputusan untuk mendapatkan khidmatnya selepas ketiadaan penyerang Wayne Rooney yang masih bergelut dengan kecederaan.Jack Wilshere turut mendapat tempat bersama skuad senior selepas disisihkan Pearce.