suria

Atlet Lupakan Saingan, Tunai Solat Aidiladha

GUANGZHOU: Di sebalik kesibukan dan keghairahan bersaing mengejar pingat pada Sukan Asia ke-16, hampir seribu atlet Islam dari pelbagai negara melupakan sebentar misi mereka untuk menyertai masyarakat Islam setempat menunai solat sunat Aidiladha yang disambut di sini, Selasa.

Atlet itu, bersama pegawai, sukarelawan dan petugas media memenuhi ruang di Pusat Perkhidmatan Agama yang terletak di Perkampungan Atlet, menunaikan solat dipimpin oleh Imam dari Masjid Beijing, Yusuf Li.

Seramai 30 atlet Malaysia yang diketuai oleh Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, timbalannya Datuk Razali Ibrahim dan Ketua Kontinjen Datuk Zolkples Embong turut sama.

Beberapa pegawai dari Majlis Sukan Negara berpakaian baju Melayu untuk memeriahkan suasana hari raya.

Razali sendiri berkain pelekat, berbaju Melayu dan bersongkok.

"Terkenangkan kampung di Muar, Johor," selorohnya.

Yusuf berkata, penganjur sukan memberikan beliau tugas menjadi imam solat Aidiladha itu.

"Saya gembira menjadi imam hari ini bagi solat yang dilakukan oleh penganut Islam dari pelbagai negara," katanya kepada Bernama, di sini.

Walaupun tanpa sebarang jamuan khusus bagi anggota kontinjen Malaysia, namun takbir yang dilaungkan sedikit sebanyak mengubat kerinduan atlet pada tanah air.

Artikel Berikut

Ancelotti Kecewa

Artikel Lain