Spurs dihadiahkan sepakan penalti selepas Fabregas (dua dari kiri) menghalang sepakan percuma Van der Vaart. LONDON: Pemain pertahanan Younes Kaboul menjaringkan gol kemenangan saat akhir untuk membantu Tottenham Hotspur menundukkan Arsenal 3-2 selepas ketinggalan dengan dua gol pada babak pertama, Sabtu.Kaboul memecah kebuntuan di Stadium Emirates ketika perlawanan berbaki lima minit dalam usaha skuad bimbingan pengurus Harry Redknapp mencipta kemenangan pertama di Arsenal sejak Mei 1993. Kemenangan itu ibarat mengubat kekecewaan kapten Spurs, William Gallas yang meninggalkan Emirates selepas tidak terikat dengan mana-mana ejen musim lalu.Kekalahan itu menyebabkan Arsenal gagal memanfaatkan peluang untuk menduduki tangga teratas liga selepas merapatkan jurang mata ke atas Chelsea.Hubungan Gallas dan Samir Nasri masih keruh selepas pemain tengah Arsenal itu dilihat enggan berjabat tangan dengan bekas rakan sepasukannya.Begitupun Nasri berjaya membolosi gawang Spurs seawal minit kelapan dengan menjaringkan gol kelapannya musim ini selepas memanfaatkan hantaran Cesc Fabregas.Kapten The Gunners itu hampir menggandakan jaringan tetapi Arsenal terpaksa menunggu tempoh selama 27 minit untuk gol kedua.Hantaran bola rendah Andrey Arshavin berjaya dimanfaatkan penyerang Marouane Chamakh yang menghadiahkan gol kedua untuk pasukan tuan rumah.Namun Gareth Bale merapatkan defisit gol lima minit selepas perlawanan memasuki babak kedua dan Rafael van der Vaart menyempurnakan penalti selepas Fabregas menyekat sepakan percuma pemain Belanda itu dengan sikunya.Arsenal masih ada peluang untuk menang menerusi percubaan Fabregas dan Laurent Koscielny tetapi Kaboul menanduk masuk sepakan percuma untuk memenangi pertembungan getir itu.