BANGI: Walaupun bangga diberi penghormatan sebagai pembawa Jalur Gemilang pada perasmian temasya Sukan Para Asia yang pertama di Guangzhou dari 12 hingga 19 Disember, namun perasaan gemuruh tidak dapat dielakkan oleh pemanah berkerusi roda nombor satu dunia, Muhammad Salam Sidik.Muhammad Salam, yang berasal dari Kampung Sungai Tiram, Kota Tinggi, Johor teruja apabila bakal mengetuai perarakan kontinjen negara seramai 108 atlet dan 68 pegawai. "Saya terkejut diberi mandat oleh ketua kontinjen (Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz) untuk membawa Jalur Gemilang. Namun, ia memberi saya semangat untuk menjulang nama negara di sana nanti."Saya berbohong jika saya katakan tidak ada tekanan tetapi saya harap perasaan takut ini tidak akan menjejaskan prestasi saya," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan Jalur Gemilang oleh Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek di Hotel Residence, Universiti Tenaga Nasional (Uniten) di sini Isnin.Turut hadir pada majlis tersebut Penaung Paralimpik Malaysia Tun Jeanne Abdullah dan Dr Ramlan.Sukan Para Asia menggantikan temasya Sukan Orang Kurang Upaya Timur Jauh dan Pasifik Selatan (FESPIC) yang kali terakhir dianjurkan pada tahun 2006 di Kuala Lumpur.Di Guangzhou, Muhammad Salam, 27, akan menyertai dua acara iaitu Recurve individu dan berpasukan bersama Zulkifli Mat Zin dan Mohd Zafi Rahman Mat Salleh mulai 13 Disember ini, yang bermula dengan acara individu.Beliau yang merupakan olahragawan atlet orang kelainan upaya (OKU) bagi tahun 2005, 2007 dan 2009 berkata cabaran mental dan fizikal adalah tinggi kerana pergerakannya terbatas berbanding atlet biasa.Katanya pasukan memanah optimis untuk merangkul satu pingat emas dalam temasya tersebut dalam acara individu."Ia bagaikan satu motivasi bagi saya kerana jika berjaya mengungguli acara ini, saya secara automatik terus menempah tiket ke Sukan Paralimpik 2012," katanya. Kontinjen negara berkampung di Uniten selama lima hari bermula Sabtu sebagai pusat latihan terakhir sebelum kontinjen pertama berlepas esok dan diikuti dengan kontinjen terakhir pada hari seterusnya.Pada temasya Sukan Fespic, Malaysia tidak meraih pingat dalam kedua-dua acara tersebut.Malaysia akan menyertai 15 daripada 19 jenis sukan yang dipertandingkan, termasuk olahraga, badminton, renang, tenpin boling, memanah, powerlifting, lawan pedang berkerusi roda, berbasikal, mendayung dan judo.Sebanyak 45 negara akan menyertai temasya sukan ulung bagi atlet paralimpik rantau Asia itu yang mempertandingkan sejumlah 418 acara. - BERNAMA