suria

Gandingan Anuar-Haidar Bakal Menjadi Kenyataan

Anuar yang menyarung Jersi Hijau (Raja Pecut) tahun lalu dijangka bakal bergandingan dengan Haidar bagi menguatkan pasukan Malaysia.
Anuar yang menyarung Jersi Hijau (Raja Pecut) tahun lalu dijangka bakal bergandingan dengan Haidar bagi menguatkan pasukan Malaysia.
Anuar yang menyarung Jersi Hijau (Raja Pecut) tahun lalu dijangka bakal bergandingan dengan Haidar bagi menguatkan pasukan Malaysia.

KUALA LUMPUR: Usaha awal kembali untuk menggandingkan Anuar Manan-Ahmad Haidar Anuawar serta dua pelumba lain semakin menjadi kenyataan apabila mereka diarah berlatih bersama skuad lebuh raya Malaysia bagi menghadapi kejohanan Le Tour de Langkawi 2011 (LTdL 2011) 23 Januari hingga 1 Februari ini.

Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Abu Samah Abd Wahab menjelaskan arahan tersebut dikeluarkan beberapa hari lalu selepas sesi perbincangan bersama Anuar, Ahmad Haidar dan jurulatih, Omar Saad serta Pengerusi Lebuh Raya Malaysia, Amrun Misnoh.

“Pada pertemuan itu, Ahmad Haidar membangkitkan perasaan bimbangnya kerana ketika ini dia berlatih secara bersendiri tanpa program yang khusus selepas pasukannya Marco Polo Team dikatakan sudah dibubarkan.

“Oleh kerana itu, Ahmad Haidar bimbang dia tidak berpeluang berkayuh di LTdL 2011. Begitu juga dengan Anuar. Ketika ini Anuar belum mendaftarkan dirinya dengan mana-mana pasukan termasuk TCT (Terengganu Cycling Team).

“Jadi, selepas berbincang secara rapi berdasarkan konsep `menang-menang’, saya rasa adalah lebih baik Anuar dan Ahmad Haidar berlatih bersama skuad lebuh raya di Melaka di bawah bimbingan Omar Saad,” katanya dalam satu kenyataan, Rabu.

Selepas berakhirnya Sukan Komanwel 2010 di New Delhi, India dan Sukan Asia 2010 di Guangzhou, China yang menyaksikan Anuar pulang tangan kosong, ada pihak mencadangkan pelumba tersebut kembali digandingkan bersama Ahmad Haidar.

Dua kombinasi itu banyak menghasilkan kejayaan sewaktu bersama pasukan Le Tua Cycling Team termasuk mendominasi Jelajah Malaysia 2007 (JM 2007), JM 2008 dan JM 2009.

Abu Samah bagaimanapun menjelaskan tempat Anuar dan Ahmad dalam pasukan kebangsaan Malaysia yang sudah pun menerima jemputan rasmi untuk berkayuh di LTdL 2011, belum terjamin sepenuhnya dan mereka perlu meyakinkan Panel Pemilih LTdL 2011.

“Kita semua maklum bahawa Anuar perlu mempertahankan jersi hijau (raja pecut) yang dimenanginya pada Le Tour de Langkawi 2010. Dia juga menang satu peringkat pada Le Tour de Langkawi 2010 iaitu di Port Dickson.

“Kami di PKBM sedar dengan hakikat itu. Bagaimanapun, skuad kebangsaan Malaysia mempunyai beberapa pelumba bagus seperti Ahmad Fakrullah (Alias) dan Zamri (Salleh). Untuk kategori bukit pula, Muhammad Nur Rizuan (Zainal) dan Muhammad Rauf (Nur Misbah) amat menonjol ketika ini.

“Apapun saya gembira kerana kehadiran Anuar dan Ahmad Haidar pasti meningkatkan lagi semangat semua pelumba untuk bersaing memburu enam tiket berkayuh di LTdL dan empat tempat selaku pelumba simpanan,” katanya.

Skuad lebuh raya Malaysia adalah satu-satunya pasukan di Asia selain Afrika Selatan mewakili benua Afrika yang sentiasa menerima jemputan berlumba pada LTdL sejak perlumbaan jelajah tersebut diperkenalkan pada 1996.

Perlumbaan jelajah LTdL 2011 adalah kejohanan elit berstatus 2HC dalam kalendar Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) anjuran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dengan kerjasama PKBM.

Ia bermula 23 Januari sehingga 1 Februari meliputi 10 peringkat dengan jarak keseluruhan 1,315.4 kilometer di Pulau Langkawi dan berakhir di Dataran Merdeka.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain