suria

Atlet Paralimpik Negara Mampu Sumbang Lebih Daripada Lapan Emas - MSN

GUANGZHOU: Majlis Sukan Negara (MSN) yakin kontinjen paralimpik negara mampu mengutip lebih daripada lapan pingat emas pada hari keenam Sukan Para Asia yang berakhir Ahad ini.

Ketua pengarah Bahagian Atlet MSN Ahmad Shapawi Ismail berkata, terdapat kemungkinan yang besar Malaysia mampu meraih satu atau dua lagi pingat emas menerusi sukan badminton, Sabtu.

"Kalau dilihat atas kertas, kita mempunyai potensi besar untuk memenangi pingat emas esok menerusi acara beregu lelaki dan perseorangan lelaki," katanya.

Secara tidak rasmi, Malaysia kini mengumpul tujuh pingat emas dengan yang terbaru disumbangkan oleh Nabilah Ahmat Sharif, yang berjaya menumpaskan pemain Thailand, Kamtam Wandee dengan 21-13 dan 21-14 dalam acara perseorangan wanita kategori BMSTL2, pada pusingan 'Round Robin' di Gymnasium Tianhe, Jumaat.

Esok, pemain beregu lelaki Cheah Liek Hou dan Suhaili Laiman akan bertemu beregu Indonesia Yohwari Dwiyoko dan Ryan Yahwari dalam acara badminton kategori BMSTU4/5, manakala dalam satu lagi perlawanan akhir, pemain perseorangan negara Cheah Liek Hou akan bertemu Suryo Nugroho (Indonesia).

Ahmad Shapawi berkata setakat ini, MSN berpuas hati dengan pencapaian kesemua 108 atlet paralimpik negara.

"Kejayaan hari ini turut membuktikan bahawa mereka setanding dengan atlet paralimpik bertaraf dunia lain," katanya yang menyifatkan usaha dan pengorbanan atlet berkenaan perlu dihargai kerana bukan mudah bagi mereka memperoleh kejayaan di temasya kedua terbesar sukan Orang Kelainan Upaya (OKU) itu.

Beliau berkata kejayaan itu juga boleh menjadi penanda aras bahawa atlet paralimpik negara telah sedia untuk berdepan cabaran yang lebih besar iaitu temasya Paralimpik London pada 2012.

Pada Jumaat, Malaysia berjaya mengutip empat pingat perak dan lima gangsa menerusi olahraga, badminton (1 pingat gangsa), Renang (1 pingat perak), memanah (1 pingat gangsa) dan powerlifting (1 pingat gangsa).

Jumlah kutipan itu membolehkan Malaysia menduduki tangga ketujuh carta punggutan pingat dengan mengumpul enam emas, 11 perak dan 22 gangsa. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain