suria

Malaysia Hampiri Final Piala Suzuki AFF

K Rajagobal memberikan pujian kepada Mohd Safee selepas menjaringkan gol pertama negara pada perlawanan Separuh Akhir Piala Suzuki bertemu Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini, malam Rabu. Foto: BERNAMA
K Rajagobal memberikan pujian kepada Mohd Safee selepas menjaringkan gol pertama negara pada perlawanan Separuh Akhir Piala Suzuki bertemu Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini, malam Rabu. Foto: BERNAMA
K Rajagobal memberikan pujian kepada Mohd Safee selepas menjaringkan gol pertama negara pada perlawanan Separuh Akhir Piala Suzuki bertemu Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini, malam Rabu. Foto: BERNAMA

NAMA Safee Sali kembali menjadi sebutan peminat-peminat bola sepak tanah air apabila membantu Malaysia menewaskan Vietnam, 2-0 pada saingan separuh akhir pusingan pertama Piala Suzuki AFF, sekaligus bakal berkunjung ke Stadium My Dinh ini bagi pusingan kedua dengan penuh keyakinan.

Memang diakui, menentang pasukan Vietnam bukanlah mudah, lebih-lebih lagi pasukan kendalian jurulatih Portugal, Henrique Calisto ini beraksi dengan misi untuk mempertahankan gelaran juara yang dijulang pada tahun 2008 yang turut dibarisi pemain-pemain yang berpengalaman berbanding skuad Malaysia.

Namun sikap tidak ‘bercakap besar’ dan tidak takut yang di ketengahkan oleh K.Rajagobal kepada anak buahnya telah membuahkan hasil yang baik dengan menampilkan aksi cemerlang pada perlawanan ini. Pemain-pemain telah menunjukkan semangat juang yang tinggi, tidak mudah melatah apabila diserang serta berani melakukan cubaan adalah antara faktor pasukan negara menang pada pusingan ini.

Sebelum ini Rajagobal pernah berkata, pasukannya akur dengan kehebatan Vietnam, malah menghormatinya, namun mereka tidak takut untuk menentang. Pemain-pemain tahu melaksanakan tugas masing-masing biarpun kadang-kala jelas kelihatan masih ada kelemahan terutama sekali dari segi hantaran bola jarak dekat dan jauh. Tetapi itu semua berjaya ditutup dengan kelincahan pemain ketika mengejar bola.

Debaran semakin memuncak apabila pada babak pertama, kedua-dua pasukan terikat seri tanpa jaringan, namun suasana itu berubah apabila pada separuh masa kedua, skuad negara tampil dengan lebih agresif dan pantas dalam melakukan serangan.

Benteng pertahanan Malaysia semakin ketat, menyebabkan pemain-pemain Vietnam sukar melepasi kotak penalti. Pujian juga perlu diberikan kepada penjaga gol negara, Khairul Fahmi Che Mat yang beraksi cemerlang mengawal gawang walaupun ini merupakan aksi pertamanya pada kejohanan ini.

Safee, 26, yang menyarung jersi bernombor 10 berjaya memecah buntuan apabila tandukan kencang hasil sepakan percuma kapten pasukan, Shafiq Rahim pada minit ke-60.

Tidak dinafikan kebolehan Safee dalam melakukan tandukan adalah kelebihanya kerana dia turut melakukan aksi itu ketika beraksi bersama pasukan Selangor dan pasukan kebangsaan sebelum ini.

Sementara itu, Safee yang mula menyarung jersi negara pada tahun pada Kelayakan Olimpik 2004, dalam pasukan Bawah 23 Tahun sekali lagi menggegarkan Stadium Nasional Bukit Jalil selepas menyudahkan bola muntah penjaga gol Vietnam, Bui Tan Truong pada minit ke-79.

Jaringan dua gol yang dilakukan barisan pemain negara gagal dikejar pihak lawan sekali gus Malaysia bakal menghampiri pusingan akhir buat kali kedua sejak 1996.

Realistiknya, bayangan ke final mungkin sudah kelihatan, namun tugas mereka pada saingan ini belum lagi selesai memandangkan masih ada satu lagi ujian di Hanoi.

Sekiranya mereka berjaya mempertahankan jaringan gol ini atau menambah jaringan, pastinya impian untuk melihat aksi mereka akan tercapai.

Namun sekiranya mereka gagal mempamerkan aksi seperti mana yang ditunjukkan pada perlawanan pusingan pertama ini, impian itu bakal terkubur.

Pastinya selepas ini Rajagobal akan cuba membaiki beberapa kelemahan yang ada dan paling penting dia dijangka akan membuat formula lebih mantap pada aksi kedua ini bagi memastikan tiket ke final berada dalam genggaman.

“Walaupun semua gembira, hakikatnya tugas kami belum selesai,” katanya selepas perlawanan itu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain