suria

Skuad Tenpin Boling tutup tirai Dengan Dua Pingat Emas

GUANGZHOU: Skuad Paralimpik tenpin boling negara ke Sukan Para Asia di sini akhirnya berjaya mencapai sasaran dua pingat emas pada hari terakhir acara itu yang berlangsung di Pusat Bowling Tianhe, hari ini.

Dengan kejayaan itu Malaysia kini mengumpul enam pingat emas setelah empat hari Sukan Para Asia berlangsung.

Pingat emas pertama negara hari ini disumbangkan oleh gandingan Abu Bakar Nyat dan Wong Kee Soon menerusi acara lelaki berpasangan kategori TPB9 setelah berjaya melakukan 2,358 jatuhan pin.

"Saya bangga kerana dapat mengharumkan nama negara dan harap dapat mengulangi kejayaan yang sama pada kejohanan lain," kata Abu Bakar, 43, kepada Bernama, di sini hari ini.

Kejayaan itu telah membakar semangat gandingan Ku Izham Ku Harun dan Choo Kam Chan untuk menyumbang pingat emas keenam negara dalam acara lelaki berpasangan kategori TPB2 dengan 2,231 jatuhan pin.

Turut sama menyaksikan kejayaan itu ialah isteri bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi, Tun Jeanne Abdullah dan timbalan menteri Belia dan Sukan Gan Ping Sieu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain