CHIANG MAI: Atlet karate meraih dua emas pada hari terakhir acara itu menerusi acara kumite lelaki individu dan berpasukan di Gimnasium Universiti Utara Chiangmai di sini, Sabtu.Atlet negara L.Kunasilan yang menyertai kategori bawah 55kg jelas bukan tandingan lawannya Nguyen Ngoc Hung dari Vietnam. Beliau menundukkan Nguyen 3-1 sekaligus membawa pulang pingat emas untuk negara. Kemenangan Kunasilan menaikkan semangat atlet negara yang lain untuk beraksi cemerlang dalam acara berpasukan lelaki.Pasukan Malaysia yang dibarisi Kunasilan, Chan Keng Ann, Uriel Yu Eh, V.Jayaseelan, Cheng Wei Han, Roney Roger Sining dan Nasree Najmi menewaskan tuan rumah Thailand 3-1 di pusingan akhir untuk merangkul emas ketiga negara dalam acara karate.Semalam, V.Jayaseelan merangkul emas dalam kumite individu lelaki kategori atas 84kg.Sementara itu, Kunasilan yang ditemui media berkata beliau gembira dapat membantu pasukan negara pada AUG kali ini setelah gagal mendapat sebarang pingat di Sukan Asia edisi Guangzhou bulan lalu."Memang perasaan saya sangat gembira.Akhirnya kita telah menang tiga emas pada AUG kali ini. Masih banyak yang perlu dipelajari tapi saya percaya sukan karate (negara) akan lebih berjaya lagi selepas ini," kata pelajar jurusan Pendidikan Jasmani Universiti Putra Malaysia itu.Terdahulu, skuad badminton wanita negara sekadar meraih perak dalam acara berpasukan setelah tewas pada Indonesia 1-3. Bola sepak turut gagal mara ke pusingan separuh akhir setelah tewas pada Laos 0-1.-BERNAMA