Antara atlet yang menerima insentif Shakam pada Khamis.FOTO THE STAR/AZHAR MAHFOFKUALA LUMPUR: Cemerlang. Itu kesimpulan yang dapat dirumuskan selepas melihat prestasi memberangsangkan atlet Malaysia dalam beberapa kejohanan terpenting sepanjang tahun ini.Perkara itu diakui Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang hadir menyampaikan Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam) kepada atlet yang melakar kejayaan pada Sukan Asia di Guangzhou, China bulan lalu. "Tahun ini merupakan pencapaian terbaik atlet negara. Kita bukan saja mencipta sejarah dalam Sukan Komanwel, Sukan Asia, Sukan Olimpik Belia (YOG) malah turut cemerlang pada Sukan Paralimpik baru-baru ini," katanya pada sidang media di sini, Khamis.Menurut beliau, selain terjun dan skuasy, bola sepak serta hoki antara sukan berkumpulan yang menunjukkan peningkatan ketara pada temasya kedua terbesar selepas Sukan Olimpik.Ekoran pencapaian cemerlang itu, Shabery mahu atlet negara meneruskan prestasi luar biasa tersebut pada Sukan Olimpik 2012 di London kelak.Setakat ini, enam jenis sukan telah dimasukkan dalam program Road To London iaitu badminton, berbasikal, memanah, terjun, hoki dan menembak yang dilihat berpotensi membutirkan pingat emas di London, dua tahun lagi.Bagaimanapun, nasib sukan memanah yang sebelum ini disenaraikan dalam program itu masih belum diketahui dan keputusannya akan diumumkan awal tahun depan."Kita belum pasti sama ada acara itu akan dikekalkan atau digugurkan dari program ini. Masih ada beberapa perkara yang tertangguh. Kita akan jumpa atlet memanah awal tahun depan kerana ada di antara mereka kini berada di Chiang Mai, Thailand untuk Sukan Universiti Asean (AUG)," ujarnya.Prestasi tidak menentu atlet memanah dalam beberapa kejohanan terpenting tahun ini menyebabkan KBS terpaksa menilai semula keputusan menyenaraikan acara itu dalam program Road To London."Kita akan aturkan perjumpaan dengan atlet memanah dan pihak persatuan untuk berbincang mengenai perkara itu dan mengenal pasti punca kemerosotan prestasi mereka," jelasnya.Atlet yang terpilih menyertai program Road To London akan menerima elaun sebanyak RM2,000 sebulan.Jaguh basikal negara, Azizulhasni Awang, pemain badminton No.1 dunia, Datuk Lee Chong Wei dan pemanah negara, Cheng Chu Sian antara atlet yang menerima elaun itu.