suria

2010 Tahun Keramat Nicol

Nicol menerima insentif bernilai RM100,000. Foto THE STAR/AZHAR MAHFOF
Nicol menerima insentif bernilai RM100,000. Foto THE STAR/AZHAR MAHFOF
Nicol menerima insentif bernilai RM100,000. Foto THE STAR/AZHAR MAHFOF

KUALA LUMPUR: 2010 ibarat membawa tuah dan menjadi tahun keramat buat ratu skuasy negara, Datuk Nicol Ann David.

Beliau bukan saja berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah sepanjang 2010, malah turut menerima insentif lumayan bernilai RM100,000 menerusi Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam) yang diadakan di Dewan Komanwel, Majlis Sukan Negara, di sini pada Khamis.

Ganjaran itu disampaikan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek selepas kejayaannya membantu negara meraih pingat emas masing-masing dalam acara perseorangan dan berpasukan wanita pada Sukan Asia di Guangzhou, China bulan lalu.

"Saya amat gembira. Insentif ini ibarat satu bonus untuk menaikkan semangat saya pada kejohanan tahun depan. Tahun ini merupakan pencapaian terbaik saya. Segala usaha keras saya sepanjang tahun ini akhirnya berbalas," kata anak jati Pulau Mutiara itu ketika ditemui pemberita di sini, Khamis.

Pada masa sama, beliau turut menghadiahkan kejayaan itu kepada kedua ibu bapanya yang banyak mendorong kariernya selama ini.

Selepas mengharungi detik-detik manis sepanjang tahun ini, Nicol menjadikan Kejuaraan Dunia dan Terbuka Malaysia fokus utamanya pada 2011.

Mengulas mengenai persaraan pemain senior, Sharon Wee Ee Lin baru-baru ini, Nicol berkata, dia tidak begitu bimbang kerana negara memiliki ramai pemain junior berbakat pada ketika ini.

"Tiada apa yang perlu dibimbangkan. Kita ada ramai pemain junior yang berpotensi untuk menggalas tanggungjawab kepada negara. Kekosongan yang ditinggalkan oleh Sharon terutamanya dalam acara berpasukan dunia akan diisi Siti Munirah Jusoh," jelasnya.

Pada majlis penyampaian Shakam itu acara skuasy muncul penerima insentif tertinggi keseluruhan bernilai RM320,000 diikuti sukan terjun (akuatik) dengan RM260,000.

Seramai 78 atlet menerima insentif keseluruhan berjumlah RM1,876,000 juta di atas pencapaian meraih 9 emas, 18 perak dan 14 gangsa pada temasya empat tahun sekali itu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain