suria

Ada Pihak Cuba Lemahkan Semangat Pasukan Malaysia - Shabery

JAKARTA: Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek hari ini menganggap laporan kononnya Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) didenda dan digantung oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) berikutan isu pancaran laser pada perlawanan akhir pertama Piala AFF Suzuki 2010 Ahad lalu, sebagai cubaan melemahkan semangat pasukan Malaysia.

"Kami telah merujuk dengan Setiausaha Agung FAM Datuk Azzuddin Ahmad dan mendapati perkara ini tidak benar sama sekali," kata beliau kepada wartawan Malaysia di sini, yang membuat liputan perlawanan akhir kedua Piala AFF Suzuki 2010.

Pertanyaan mengenai perkara itu, oleh seorang wartawan Indonesia kepada Ahmad Shabery pada sidang akhbar bersama Menteri Negara, Pemuda dan Olahraga Indonesia Andi Mallarangeng, ternyata memeranjatkan beliau. "Saya baru saja mendengar berita ini daripada anda (wartawan Indonesia). Kalau benar ada hukuman itu, saya fikir FAM pasti sedia maklum dan akan mengambil tindakan yang sewajarnya (membuat rayuan)," katanya.

Pada sidang akhbar itu, beberapa wartawan Indonesia turut mengajukan soalan sama ada Malaysia membenarkan penggunaan laser itu. Kekalahan Indonesia telah menimbulkan kekecewaan di kalangan penyokongnya dan media negara itu terus menggunakan isu pancaran laser ke arah penjaga gol pasukan "Garuda" sebagai alasan.

Ketika menjawab soalan itu, Ahmad Shabery berkata Malaysia amat menyesali insiden berkenaan dan berkata pihak berkuasa telah diminta menjalankan siasatan. "Kami sentiasa berusaha memastikan setiap perlawanan berlangsung dalam suasana aman tanpa gangguan. Namun, untuk memastikan semua penonton berada dalam keadaan yang baik, ia di luar kawalan kami.

"Kerana itu, kami sentiasa dan akan terus memperbaiki kelemahan dan kesilapan itu pada masa depan," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata pasukan Malaysia juga melalui pengalaman yang sama apabila pemainnya dipancarkan laser ketika berdepan Indonesia pada perlawanan peringkat kumpulan di Stadium Gelora Bung Karno 1 Disember lepas, namun ia tidak membuat bantahan.

"Dalam laman web rasmi AFF juga ada ditayangkan video pasukan Malaysia terkena pancaran laser semasa beraksi di sini," katanya. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain