Doyle (kanan) menanduk masuk gol melepasi kawalan penjaga gol Spurs, Heurelho Gomes ketika pertemuan di Molineux.WOLVERHAMPTON: Pengurus Harry Redknapp berharap agar tonggak utama Tottenham Hotspur, Gareth Bale pulih sepenuhnya menjelang pertemuan timbal balik Liga Juara-Juara Eropah menentang AC Milan selepas pemain sayap Wales itu bergelut dengan kekejangan otot di pangkal paha ketika terikat 3-3 dengan Wolves.Bale diturunkan dari bangku simpanan pada babak kedua di Molineux untuk penampilan pertamanya selepas direhatkan enam minggu kerana masalah belakang. Namun, Redknapp mendedahkan Bale bergelut pula dengan kecederaan pangkal paha sejurus tamat perlawanan.Pendahulu Serie A, AC Milan akan berkunjung ke White Hart Lane pada Rabu dalam usaha untuk mengurangkan defisit 0-1 pada pertemuan pertama.Redknapp yakin, kehadiran Bale bersama rakan sepasukan mampu menyuntik peluang Spurs untuk mengisi kelompok lapan pasukan terakhir.Bekas pemain Southampton itu tampil cemerlang bersama Spurs dalam dua pertemuan penting dengan Inter Milan pada saingan peringkat kumpulan dan Redknapp berharap Bale akan kembali memperkuat pasukan."Sebaik saja Bale kembali beraksi di padang, ia amat mengujakan. Kami terlepas khidmatnya selama lima atau enam minggu."Semoga dia cepat pulih untuk perlawanan menentang AC Milan. Dia hanya terjatuh dan berlaku sedikit kekejangan di pangkal pahanya," kata Redknapp.Selepas menyaksikan anak buahnya terlepas peluang untuk mengambil alih tempat keempat yang dihuni Chelsea, Redknapp mengakui pemain pertahanan Spurs, Alan Hutton bernasib baik kerana tidak dilayangkan kad merah.Hutton dilihat cuba menyekat percubaan Nenad Milijas sehingga menarik pemain itu sehingga terjatuh di dalam kawasan penalti pada penghujung permainan babak pertama.Pengadil Mark Halsey menghadiahkan sepakan penalti kepada Wolves dan melayangkan kad kuning kepada Hutton.