KUALA LUMPUR: Seorang atlet elit dalam skuad tenpin bowling negara hari ini meluahkan rasa kecewa terhadap Majlis Sukan Negara (MSN) yang didakwanya memotong peruntukan kepada persatuan sehingga menyebabkan ramai daripada mereka tidak dapat menyertai kejohanan besar.Atlet elit yang tidak mahu namanya disiarkan itu berkata, dia dan rakan-rakannya risau apabila memikirkan masa depan dan nasib yang bakal menimpa mereka akibat pemotongan peruntukan itu. "Kami telah banyak kali mengharumkan nama negara di pentas dunia namun amat menyedihkan apabila kami seolah-olah dianak tirikan oleh MSN berbanding sukan lain seperti badminton dan bola sepak," katanya menerusi e-mel kepada Bernama, Rabu.Atlet itu berkata e-mel berkenaan akan dihantar kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.Beliau berkata pemotongan peruntukan itu akan menyebabkan atlet boling negara hilang peluang untuk beraksi di kejohanan antarabangsa dan menjejaskan kedudukan mereka dalam ranking dunia."Agak menyedihkan bagi saya sebagai atlet elit kerana kami sering diketepikan dan dianak tirikan walaupun kami telah membawa pulang dua pingat emas, satu perak dan satu gangsa dari Sukan Asia di Guangzhou, dan dua pingat emas, dua perak, dua gangsa dan juara keseluruhan di Sukan Komanwel di New Delhi, pada tahun lepas," katanya.Beliau mendakwa peruntukan skuad tenpin boling dipotong dengan alasan sukan itu tidak dipertandingkan di Sukan Olimpik London 2012.Atlet itu berkata tujuan luahannya bukan untuk mendapat ganjaran dalam bentuk wang sebaliknya ingin memperjuangkan sukan tenpin boling dan untuk mengharumkan nama negara."Saya berharap agar badan-badan korporat menghulurkan bantuan bagi membolehkan kami terus bertanding di kejohanan bertaraf dunia," katanya.