KUALA LUMPUR: Pasukan bola tampar pantai Malaysia, yang belum pernah memenangi pingat emas Sukan SEA, mahu menamatkan pencarian itu pada edisi ke-26 temasya dwi-tahunan itu yang akan berlangsung di Indonesia dari 11 hingga 25 Novenber ini.Jurulatih negara Lim Poh Hong berkata pihaknya menyasarkan sekurang-kurangnya satu pingat emas daripada pasangan utama negara, Luk Teck Hua dan Beh Shun Ting. "Pencapaian terbaik Malaysia ialah dua gangsa, setiap satu daripada edisi di Thailand pada 2009 dan di Laos 2007," katanya.Keyakinan meraih pingat emas adalah berdasarkan kejayaan Luk dan Beh untuk mara ke separuh akhir acara tersebut pada Sukan Asia di Guangzhou, China pada Disember lepas.Beliau berkata Persatuan Bola Tampar Malaysia (Mava) akan menghantar dua pasangan ke Indonesia iaitu Luk dan Beh serta P.Iswari dan Luk Teng Kee."Dalam waktu terdekat ini, kita akan menyertai tiga pertandingan pada April iaitu dua kejohanan di Thailand dan satu lagi di Batam, Indonesia," katanya.Sementara itu, Luk dan Beh telah menyertai pertandingan pertama bola tampar pantai pada tahun ini dengan memenangi tempat kedua di Kejohanan Bola Tampar Terbuka Australia Barat kategori AAA.Mereka dikalahkan oleh juara Olimpik empat kali yang juga pemenang pingat emas Olimpik Sydney Natalie Cook yang berpasangan dengan rakan baru, Tara West pada peringkat akhir, 6 Mac lepas.Sebanyak 24 pasukan dalam kategori AAA bertanding pada kejohanan dua hari itu. Pasangan Malaysia memenangi tiga perlawanan dan menjadi juara kumpulan pada perlawanan yang diadakan Sabtu.Secara keseluruhan mereka bertanding empat perlawanan pada Ahad iaitu pusingan kalah mati (16 pasukan terbaik, suku akhir, separuh akhir dan akhir).Pasukan lelaki kategori AAA, pasangan Malaysia Khoo Chong Long dan Rafi Asruki kalah di peringkat suku akhir.-BERNAMA