KUALA LUMPUR: Pasukan Barcelona dan Manchester United menjadi pilihan peminat-peminat bola sepak Malaysia untuk melihat dua pasukan ini mara ke final Liga Juara-Juara (CL) yang bakal berlangsung Stadium Wembley, London, Mei ini.Tinjauan Mstar Online pada Jelajah Asia Trofi Liga Juara-Juara di Pavilion pada Rabu menyaksikan kehadiran orang ramai mengambil peluang untuk bergambar dengan trofi bertaraf dunia ini yang dipamerkan sehingga esok (Sabtu). Salah seorang peminat CL, Kimi Lam,21, berkata, dia teruja dengan jelajah ini dan tidak melepaskan peluang untuk memegang sendiri trofi yang menjadi rebutan pasukan-pasukan kelab bola sepak dunia."Saya sempat bergambar dengan trofi ini, dan pastinya saya sangat gembira kerana peluang ini jarang berlaku," katanya.Kimi berkata, bagi perlawanan akhir CL tahun ini, dia mengharapkan pasukan kesayangannya Manchester United akan beraksi pada final dan lawannya adalah Barcelona.Seorang lagi pengunjung Lew Pheng Hong,20, turut menyokong bahawa pasukan Manchester United dan Barcelona akan beraksi di London."Pasukan pilihan saya adalah Arsenal, namun malang sekali sudah terkeluar dalam saingan tahun ini, jadi saya rasanya pasukan Barcelona akan mara ke final bertemu Man United. Saya harap Barcelona akan muncul juara tahun ini," katanya.Manakala Abu Naqiuddin,23, berkata, dia sangat gembira kerana dapat bergambar dengan trofi yang pernah dijulang oleh kelab-kelab ternama dunia."Peluang ini mungkin hadir sekali sahaja dalam hidup saya. Walaupun tidak dapat melihat melihat dengan lebih dekat pasukan kegemaran saya, Barcelona beraksi, sekurang-kurang dapat menyentuh trofi ini sudah cukup bagi saya," katanya.Jelajah Asia ini akan berada di Malaysia selama dua hari sebelum meneruskan perjalanan ke Thailand pada Isnin ini.Pengurus Jenama GAB, Loh Ee Lin berkata, sambutan orang ramai hari ini sedikit perlahan memandangan keadaan hujan, namun menjangkakan kunjungan akan meningkat pada esok."Pada pameran yang diadakan sebelum ini di Sunway Pyramid dan Plaza Gurney (Penang) sambutan amat menggalakkan sehingga mencecah sebelas ribu kehadiran peminat keseluruhan dan jelajah terakhir ini kami mengharapkan jumlah akan bertambah sehingga esok."Selain dapat melihat sendiri trofi seberat 7.5 kilogram ini, peminat-peminat juga berpeluang menyaksikan perlawanan akhir CL pada 28 Mei nanti. Mereka hanya perlu mengikut syarat-syarat peraduan yang disediakan."Kami akan memilih 15 orang peminat bertuah yang menyertai peraduan sepanjang Jelajah Asia ini berlangsung."Selepas itu, kami akan melakukan pemilihan terakhir seramai lima orang peserta untuk di bawa ke London," katanya.