KUALA LUMPUR: Penunggang kejohanan motosikal dunia (MotoGP) Malaysia, Muhammad Zulfahmi Khairuddin diharap mampu memberi cabaran pada sesi kelayakan esok dan seterusnya mengisi slot 15 pelumba terbaik Grand Prix Qatar.Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sepang International Circuit (SIC) Datuk Razlan Razali berkata pencapaian Muhammad Zulfahmi setakat ini boleh dibanggakan rakyat Malaysia kerana mampu memberikan saingan setelah setahun beraksi dalam arena MotoGP. "Sesi kelayakan adalah esok, saya harap beliau dapat melepasi sesi kelayakan untuk terus memperbaharui posisinya kepada kelompok terbaik," katanya kepada pemberita, di sini Jumaat.Katanya Muhammad Zulfahmi juga mempunyai semangat juang yang tinggi sekalipun masih perlu mengasah kemahiran bagi mempamerkan aksi menarik dalam kancah perlumbaan MotoGP.Penunggang berusia 19 tahun itu akan memulakan perlumbaan musim ini bersama pasukannya AirAsia Sepang International Circuit Racing Team dengan dibantu pasukan juara dunia GP125 - Ajo Motorsport.Pada musim pertamanya tahun lepas, Zulfahmi yang dibantu Ongetta I.S.P.A Racing Team menduduki tangga ke-24 keseluruhan hasil kutipan mata di kejohanan di Catalunya (Sepanyol), Sachsenring (Jerman), Brno (Republik Czech) dan GP Portugal di Estoril.Ajo Motorsport yang membantu Marc Marquez menjuarai kelas 125cc dunia pertamanya tahun lepas akan mempersiapkan Zulfahmi mengharungi musim ini termasuk menjalani latihan di Eropah dengan sasaran kelompok 15 teratas keseluruhan, selain sentiasa memungut mata pada setiap kejohanan.Perlumbaan pertamanya adalah di Grand Prix Qatar pada Ahad ini. - BERNAMA