Vitaly Petrov. - Foto THE STAR Oleh S.S.KANESENSEPANG: Pemandu Lotus Renault, Vitaly Petrov yang berjaya menduduki tempat ketiga pada perlumbaan pembuka tirai Formula Satu (F1) Grand Prix (GP) Australia baru-baru ini berazam mengulangi kejayaan pada F1 GP Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Ahad ini.Berdasarkan prestasi sebelum ini, Petrov yakin jenteranya berada dalam keadaan baik. "Pasukan saya telah melakukan tugas yang baik, kami tidak melakukan kesilapan dan gembira dengan prestasi ini," katanya kepada pemberita selepas menjalani latihan kecergasan di Hotel Pan Pacific di sini, Rabu.Turut hadir ialah rakan sepasukannya, Bruno Senna yang merupakan pemandu gantian. Pemandu utama, Nick Hiedfeld tidak hadir atas sebab yang tidak dapat dielakkan.Mereka dipantau oleh jurulatih, James Milligan dan Xavi Martos.Petrov menduduki tangga ketiga keseluruhan bagi kategori pelumba, manakala bagi kategori pengeluar mereka menghuni tempat keempat dengan mengumpul 15 mata di belakang Red Bull (35), McLaren (26) dan Ferrari (18).Sementara itu, Petrov berkata, perlumbaan hujung minggu ini menjanjikan persaingan sengit dan pasukannya bersedia mengharungi persaingan pusingan kedua GP kali ini."Kami telah melakukan latihan kecergasan ringan seperti bermain tenis, berjoging, meregangkan otot serta berlatih di gimnasium untuk menyiapkan diri dalam perlumbaan ini," katanya.Jelasnya lagi, latihan yang dijalani adalah ringan kerana tidak ingin mencederakan tubuh badan.Petrov menambah, dia turut minum minuman pemberi tenaga khas sebelum, semasa dan selepas perlumbaan.Selain itu, dia minum sebanyak dua hingga empat liter air sebelum perlumbaan dan hanya 1.5 liter air semasa perlumbaan.Mengenai diet yang diamalkan, Petrov berkata, dia cuba mengurangkan makanan pejal kerana ia menyukarkan penghadaman.Sementara itu, Senna memberitahu, dia memfokuskan latihan kecergasannya pada sesi berbasikal, melompat dan bermain tenis.Jelasnya, dia juga mengamalkan diet seimbang dengan amaun karbohidrat, protein dan sayuran yang seimbang untuk mengharungi persaingan F1."Sebenarnya cabaran paling besar ialah diri saya sendiri. Bagaimanapun, keluarga saya merupakan penyokong saya yang paling kuat," katanya yang menggemari makanan tempatan seperti sate ayam serta nasi goreng.Ditanya sama dia berminat bermain bola sepak, Senna yang berasal dari Brazil berkata, dia bagaimanapun tidak berminat pada bola sepak.Sementara itu, Milligan memberitahu, latihan kecergasan yang disediakannya adalah menjurus kepada latihan kardiovaskular dan fizikal.Katanya, pemandu-pemandu di bawah seliaannya menjalani latihan selama lima hari seminggu.