KUALA LUMPUR: Kelantan berjaya merampas kembali kedudukan teratas liga Super setelah berjaya membelasah Felda United 6-0 pada perlawanan Stadium Sultan Mohamad ke-IV, Kota Baharu, malam Sabtu.Hasil tiga mata penuh itu membolehkan berkongsi 20 mata bersama Selangor tetapi melonjakan diri kedudukan teratas dengan kelebihan kiraan gol. Kelantan membuka tirai jaringan pada minit ke-33 menerusi Mohd Shakir Shaari dan Nurshahrul Idlan Talaha menyempurnakan tendangan penalti pada minit ke-40 untuk kedudukan 2-0 pada separuh masa.Pada babak kedua perlawanan, pasukan bimbingan Datuk M. Karathu, semakin garang dengan menambah empat lagi gol menerusi Mohd Nizad Ayub pada minit ke-60, Mohd Rizad Ayub (71), Danial Fadzley (82) dan Mohd Azuan Solahudin pada minit ke-89.Di Stadium Shah Alam, hasrat Selangor untuk melebarkan pungutan mata di persada liga lebur apabila tumpas 0-2 kepada T-Team.Pasukan T-Team berjaya mengikat Selangor pada babak pertama sebelum kembali dengan lebih bersemangat pada babak kedua untuk menghasilkan gol menerusi tandukan Mohd Norfarhan Muhammad pada minit ke-50 dan Indra Putra Mahayuddin pada minit ke-84.Di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah mencapai kemenangan kedua dalam liga selepas mengejutkan Perak 2-1.Perak, yang menduduki tangga ketiga dengan 19 mata, memperoleh gol pembukaan pada minit ke-16, hasil sepakan kencang Mohd Shafiq Jamal.Tertekan dengan kedudukan tersebut, Sabah kemudian bangkit pada babak kedua untuk menyamakan kedudukan menerusi hasil jaringan Zuraindey Jumai pada minit ke-48 dan Leopold Alfonso Otong menjadi wira Sabah dengan gol kemenangan pada minit ke-62.Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, Terengganu berjaya tumpaskan Harimau Muda A 3-1.Pada babak pertama perlawanan, Harimau Muda A terlebih dahulu membuka jaringan seawal minit ketujuh menerusi Syahrul Azwari Ibrahim.Terengganu kemudianya berjaya menyamakan kedudukan 1-1 menerusi Mohd Ashaari Samsudin pada minit ke-17.Dua lagi gol Terengganu disumbangkan oleh Abdul Hadi Yahya pada minit ke-35 dan Ismail Faruqi Asha'ri pada minit ke-63.Di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, Kuala Lumpur dan Pahang seri tanpa jaringan manakala keputusan sama dicatatkan antara Johor FC dan Negeri Sembilan di Stadium JCorp, Pasir Gudang. - BERNAMA