KOTA BAHARU: Kekalahan pasukan Red Warriors di tangan Perak minggu lepas memberi kesan ke atas skuad bimbingan Datuk M. Karathu sehingga gagal memanfaatkan pertemuan pasukan itu dengan Sabah dalam Liga Super di Stadium Sultan Mohammed ke-1V, malam Sabtu.Ketua Jurulatih Kelantan itu berkata akibat keadaan itu, anak buahnya bermain dalam keadaan tertekan dan beliau terpaksa akur dengan keputusan 0-0 selain gagal memungut sebarang mata ketika menentang pasukan negeri di bawah bayu itu. "Saya percaya pemain Kelantan bermain dalam tertekan walaupun mereka berjaya menunjukkan permainan memuaskan terutama pada separuh masa kedua," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan perlawanan itu, malam Sabtu.Karathu juga percaya kekalahan 0-4 di tangan Perak di tempat lawan minggu lepas sedikit sebanyak memberi kesan kepada anak buahnya sehingga gagal menjaringkan gol walaupun mendapat banyak peluang.Namun begitu, katanya, apa yang penting kesebelasan anak buahnya itu akan dapat mengekalkan mutu permainan dan kesungguhan yang ditunjukkan dalam liga itu.Ekoran gagal memungut sebarang mata, Kelantan yang sebelum ini berada di tangga teratas liga selepas membelasah Felda United minggu lepas kini jatuh di tangga ketiga di bawah Trengganu.Tangga teratas liga dirampas kembali oleh Selangor selepas memungut tiga mata apabila menewaskan Perak 1-0 malam Sabtu. - BERNAMA