BATU KAWAN: Juara kategori Expert tahun 2007 dan 2008, Ahmad Fazli Sham masih belum hilang sentuhannya apabila menjuarai kategori CP130 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas di Stadium Batu Kawan, di sini Ahad.Pelumba berpengalaman yang menyertai pasukan Pennzoil Fastrac Racing musim ini menamatkan perlumbaan sebanyak 15 pusingan dengan catatan masa 14:03.519s dan sekaligus merangkul kemenangan pertama musim ini. Pemenang tempat kedua, Abdul Muhaimin Roslan (Yamaha Maju Motor Racing) mencatatkan masa 14:12.286s manakala rakan sepasukannya, Ahmad Fuad Baharudin di kedudukan ketiga dengan catatan masa 14:13.400s.Muhaimin melintasi garisan penamat dengan berada di tempat ketiga, di belakang Mohd Affendi Rosli (Harian Metro TEQ SCK Honda Racing) namun kedudukan Affendi jatuh ke tangga kelapan setelah dikenakan penalti 30 saat kerana melakukan kesalahan jump-start sewaktu pelumba-pelumba dilepaskan.Ahmad Fazli, 29, yang sebelum ini mewakili pasukan Shell Advance Yamaha Maju Motor, tidak menyangka akan muncul juara pada perlumbaan hari ini memandangkan catatan masa yang dilakukan ketika sesi latihan bebas dan ujian masa semalam tidak begitu memuaskan."Sebelum memulakan perlumbaan, saya hanya meletakkan sasaran untuk berada di atas podium kerana Mohd Zamri Baba beraksi dengan begitu baik dan mendahului sejak hari pertama termasuk ketika sesi SuperPole pada sebelah pagi tadi."Selepas SuperPole, mekanik saya ada melakukan sedikit perubahan terhadap karburator dan menjadikan jentera saya lebih pantas terutama di bahagian lurus dan berjaya mendahului kedudukan sebaik perlumbaan bermula," katanya.Gelaran juara di Batu Kawan membolehkan Ahmad Fazli mendahului kedudukan keseluruhan ketika ini dengan 33 mata dengan Abdul Muhaimin mengekori rapat di belakang setelah berjaya mengutip 31 mata manakala pelumba muda, Mohd Zaqhwan Zaidi (Pachie Yuzie Honda Racing) ketiga dengan 26 mata.Saingan kedudukan berpasukan Keseluruhan begitu sengit apabila tiga pasukan teratas hanya dibezakan dengan satu mata sahaja, Yamaha Maju Motor Racing di kedudukan teratas dengan 47 mata diikuti Pachie Yuzi Honda Racing dengan 46 mata dan PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM dengan 45 mata.Sementara saingan kategori CP115 menyaksikan Zaidy Mohd Zaifaizal (Motul Yamaha YY Pang Racing) muncul juara setelah menamatkan perlumbaan dengan catatan masa keseluruhan 11:30.736s.Ahmad Abdul kadir (APIDO Yamaha Boon Kui Racing) berada di tempat kedua dengan catatan masa 11:31.300s dan Mohd Hafienaz Mohd Ali (PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM) ketiga dengan 11:32.125s.Zaidy yang merupakan anak kelahiran Batu Feringgi berkata kemenangan hari ini amat bermakna kepadanya memandangkan ia adalah kemenangan pertama di litar Batu Kawan."Saya amat gembira kerana tidak mengecewakan penyokong-penyokong dan Batu Kawan merupakan gelanggang saya sendiri," katanya.Zulsyafiz Rosli muncul juara kategori Wira menewaskan dua pelumba Motul Yamaha YY Pang, Nurahmad Fariznazreen Muhd Faizulneezam dan Mohd Izzat Zaidi Mohd Salehan yang berada di kedudukan kedua dan ketiga.Pelumba MOS Malaysia Racing itu menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 9:47.318s manakala Nurahmad Fariznazreen yang memberikan saingan sengit sepanjang perlumbaan menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 9:48.056s dan Mohd Izzat dengan 9:53.290s. - BERNAMA