suria

Fuad Undur Diri, Bagi Peluang Kepada Pelumba Muda

Fuad akan terus terlibat dalam sukan pemotoran walaupun tidak lagi beraksi pada ARRC.
Fuad akan terus terlibat dalam sukan pemotoran walaupun tidak lagi beraksi pada ARRC.
Fuad akan terus terlibat dalam sukan pemotoran walaupun tidak lagi beraksi pada ARRC.

PEMINAT-peminat sukan pemotoran tanah air pastinya akan merindui aksi pelumba veteran, Ahmad Fuad Baharudin yang mengambil keputusan untuk tidak beraksi dalam kategori SuperSports 600cc pada Kejuaraan Motosikal Asia PETRONAS 2011 (ARRC) membuka tirainya musim ini di Litar Antarabangsa Sepang (Litar Utara) pada 29 April hingga 1 Mei ini.

Fuad yang telah beraksi selama 10 tahun di saingan SuperSports 600cc percaya sekarang merupakan masa terbaik untuk mengundurkan diri dari ARRC. Dia mahu memberi ruang kepada pelumba-pelumba muda yang berbakat untuk beraksi dalam saingan SuperSports 600cc.

“Saya masih belum bersara dari perlumbaan SuperSports 600cc memandangkan saya masih berminat untuk terus beraksi di kategori ini. Cuma bukan di pentas ARRC kerana saya lihat kehadiran ramai pelumba muda yang berpotensi besar.

"Dengan ini, saya berharap pengunduran saya ini akan memberi manfaat kepada pelumba yang bakal mengambil alih tempat saya,” katanya dalam satu kenyataan, Jumaat.

“Selain itu, bekas rakan sepasukan saya di PETRONAS Yamaha Malaysia, Mohd Zamri Baba dan Azlan Shah Kamaruzaman beraksi dengan begitu baik dalam kategori ini. Kini mereka tidak lagi bergantung kepada saya untuk membantu dan memberi tunjuk ajar.

"Apa yang boleh saya katakan, saya berbangga dengan pencapaian mereka dan berharap keputusan mereka selepas ini akan terus membanggakan rakyat Malaysia.

“Saya telah menjalankan tanggungjawab saya dengan berkongsi segala pengalaman dan pengetahuan bersama-sama Azlan dan Zamri, jadi kini tanggungjawab sepenuhnya terletak di bahu mereka untuk membimbing pelumba-pelumba baru,” katanya.

Sementara itu Fuad,32, berkata, buat masa ini pihaknya sedang berbincang dengan Hong Leong Yamaha Motor Sdn Bhd untuk penajaan menyertai Malaysia Super Series (MSS).

"Masih belum ada sebarang keputusan setakat ini tetapi semoga semuanya berjalan dengan lancar. Apapun yang berlaku, saya akan terus berusaha untuk terus beraksi dalam perlumbaan SuperSports 600cc," katanya.

Fuad memulakan karier antarabangsanya pada tahun 2000 dengan menyertai kategori GP125 dan mula mengambil bahagian dalam SuperSports 600cc pada tahun berikutnya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain