PELUMBA MotoGP negara Muhammad Zulfahmi Khairuddin berharap perlumbaan Grand Prix Portugal, yang bakal berlangsung pada hujung minggu ini di Litar Estoril, akan berlangsung di litar kering dan cuaca panas.“Memang prestasi saya lebih baik dan peluang saya lebih cerah di litar yang basah. Tetapi, Litar Estoril terlalu mencabar untuk mana-mana pelumba, lebih-lebih lagi jika hujan. "Sangat sukar untuk berlumba di Estoril dalam keadaan hujan. Jadi, biarlah Grand Prix Portugal hujung minggu ini berlangsung dengan cuaca yang baik dan litar yang kering,” kata pelumba pasukan AirAsia Sepang International Circuit AJO itu.“Saya suka hujan, tetapi tidak di Estoril,” kata Zulfahmi yang mengutip satu daripada empat mata kejuaraan dunia MotoGP 125 beliau tahun lepas di Estoril selepas menduduki tempat ke 15. Tiga lagi mata kejuaraan dipungut di Catalunya, Brno dan di Sachsenring pada Grand Prix Jerman.“Tahun lepas, Litar Estoril mengalami hujan sepanjang hujung minggu perlumbaan. Boleh dikatakan semua pelumba yang bersaing dengan saya dalam kelas 125 ini jatuh sekurang-kurangnya dua kali. Saya sendiri jatuh dua kali termasuk sekali semasa sesi kelayakan. Litarnya terlalu licin, " kata Zulfahmi, yang akan berlepas ke Portugal Selasa selepas pulang ke tanahair selepas perlumbaan di Jerez ekoran penangguhan saingan Pusingan 3 pada Grand Prix Jepun di Motegi ekoran bencana tsunami yang melanda negara itu bulan lepas.Grand Prix Jepun 2011 kini diletakkan secara ‘provisional’ dalam kalendar saingan pada 2 Oktober, tiga minggu sebelum berlangsungnya Shell Advance Malaysian Motorcycle Grand Prix, yang akan berlangsung di Litar Sepang daripada 21 hingga 23 Oktober.Kejuaraan dunia musim ini akan ditutup di Valencia, Sepanyol pada 6 November.