ALOR SETAR: Beregu lelaki negara Koo Kien Keat-Tan Boon Heong menjadi wakil ketiga negara yang akan beraksi pada perlawanan akhir Kejohanan Badminton Grand Prix Emas Terbuka Malaysia 2011 esok setelah memenangi perlawanan separuh akhir dalam saingan di Stadium Sultan Abdul Halim di sini, Sabtu.Pilihan pertama kejohanan itu bagaimana dipaksa bertungkus lumus dan bermain dalam tiga set oleh pasangan Belanda Ruud Bosch-Koen Ridder sebelum menang 21-17, 18-21 dan 21-10 dalam masa 50 minit. Kien Keat berkata beliau bermain kurang baik malam ini kerana mengalami kesakitan pada pinggang tetapi tetap meneruskan permainan."Mungkin selepas mengurut malam ini sakit ini akan hilang dan tidak mengganggu perlawanan esok," katanya.Beliau juga kurang berpuas hati dengan sokongan penonton."Mentaliti penonton Malaysia kurang bagus. Apabila kami ketinggalan, kami tidak diberi sokongan. Ia sedikit memberi tekanan kepada kami," katanya.Mengulas tentang perlawanan esok, katanya beliau tidak memikirkan kejuaraan sangat tetapi memikirkan bagaimana hendak menang.Pada perlawanan itu, mereka akan bertemu dengan pasangan Indonesia Alvent Yulianto Chandra-Hendra Aprida Gunawan yang merupakan pilihan keempat kejohanan.Terdahulu, pemain perseorangan lelaki Datuk Lee Chong Wei dan pasangan beregu campuran Chan Peng Soon-Goh Liu Ying menempah tempat ke perlawanan akhir selepas mengalahkan lawan masing-masing.Perlawanan akhir beregu wanita esok akan menyaksikan pasangan pilihan kelima Shizuka Matsuo-Mami Naito dari Jepun bertemu dengan rakan senegara Miyuki Maeda-Satoko Suetsuna, yang merupakan pilihan pertama kejohanan.Perlawanan akhir perseorangan wanita pula menemukan pilihan pertama kejohanan Saina Nehwal dari India dengan pilihan kedua Wang Xin dari China.Perlawanan akhir akan bermula pukul 6 petang. - BERNAMA