suria

Australia Kekal Rekod Tanpa Kalah

IPOH: Juara dunia Australia mula menunjukkan taring pada Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah di sini apabila membenam Pakistan 5-1 di sini, Isnin.

Australia, selaku juara lima kali kejohanan tahunan itu, mengekalkan rekod tanpa kalah apabila menampilkan persembahan teratur dan pantas untuk merobek pintu gol lawan pada babak kedua perlawanan.

Ketua pasukan Simon Orchard membuka tirai jaringan pada minit ke-23 menerusi pukulan penalti sebelum Pakistan menyamakan kedudukan lima minit kemudian menerusi pukulan sudut penalti oleh Sohail Abbas.

Perlawanan bertambah rancak apabila kedua-dua pasukan menggandakan asakan tetapi barisan pertahanan masing-masing bijak mengekang serangan sebelum Jason Wilson menjaringkan gol kedua Australia pada minit ke-34.

Pada babak kedua, Pakistan, yang mencipta dua kemenangan ke atas New Zealand (4-2) dan Korea Selatan (4-2) dan kalah 2-3 kepada Britain, gagal mengekalkan rentak untuk mematahkan gerakan lawan.

Benteng pertahanan Pakistan terpaksa akur dengan gerakan lincah jentera serangan Australia dengan Simon sekali menghasilkan gol pada minit ke-41 diikuti Christoper Ciriello pada minit ke-51 menerusi pukulan sudut penalti.

Jason menutup tirai jaringan pada minit ke-55 untuk membolehkan Australia mengumpul tujuh mata selepas tiga perlawanan.

Sementara itu, pada perlawanan kedua, Britain melonjak ke tangga teratas kedudukan dengan sembilan mata selepas menumpaskan New Zealand 3-1.

Britain mendahului 1-0 pada separuh masa menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan oleh Richard Mantell pada minit ke-14.

Jonathan Clarke meletakkan Britain di hadapan dengan membuat penyudahan pukulan sudut penalti pada minit ke-51 sebelum Richard Alexander memperkukuhkan kedudukan empat minit kemudian.

New Zealand, yang masih memburu kemenangan pertama dalam kejohanan itu, menjaringkan gol sagu hati menerusi Shay Neal pada minit ke-60.-BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain