suria

15,000 Penonton Dijangka Meriahkan Pembukaan Sukma

KUALA LUMPUR: Penganjur temasya Sukan Malaysia ke-14, Majlis Sukan Negara (MSN) menjangkakan seramai 15,000 penonton akan memenuhi Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Cheras pada majlis pembukaan dan perasmian temasya tersebut Sabtu ini.

Pengarah Bahagian Pengurusan Sukan MSN Datuk Abdul Jalil Abdullah berkata pelbagai acara menarik telah diatur sempena majlis pembukaan yang akan disempurnakan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Kita akan mula memberikan tiket secara percuma kepada orang ramai yang berminat untuk menyaksikan majlis tersebut di kaunter pintu masuk KLFA bermula petang esok.

"Hanya 15,000 tiket sahaja disediakan dan saya harap mereka yang mengambil tiket akan hadir memeriahkan pada majlis tersebut," katanya kepada pemberita di sini Khamis.

Abdul Jalil berkata jaguh badminton negara Datuk Lee Choong Wei, jaguh bina badan negara Sazali Abdul Samad, S.Kumar (hoki) dan tiga atlet senior yang pernah terlibat dalam Sukan Malaysia sebelum ini akan melakukan larian baton.

Beliau berkata bagi memeriahkan lagi keadaan penonton akan dihiburkan oleh penyanyi era-80an Ramli Sarip dan lagenda rock tanah air Man Kidal atau nama sebenarnya ialah Abdul Rahman Mahmood.

"Penonton juga akan dihiburkan dengan pertunjukan bunga api dan persembahan kebudayaan daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM)," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain