suria

Sukma: Skuad Bola Jaring Kedah Sasar Perak

ALOR SETAR: Skuad bola jaring Kedah mensasarkan pingat perak pada temasya Sukan Malaysia ke-14 yang berlangsung di Kuala Lumpur bermula hari ini hingga 12 Jun.

Pengerusi Persatuan Bola Jaring Kedah Suraya Yaacob berkata taruhan itu bersandarkan pencapaian pasukan yang berada di tangga kedua semasa kejohanan remaja kebangsaan pada Mac lepas.

"Kita akan turunkan pemain terbaik dan berpengalaman dalam sukan ini selain mereka mempunyai kecergasan fizikal yang tinggi untuk menghadapi pihak lawan," katanya pada sidang media di sini Rabu.

Sementara itu, ketua pasukan Nor Atikah Md Lazim berkata beliau yakin Kedah berupaya memberi tentangan sengit pada temasya kali ini.

"Dengan adanya pemain berpengalaman kita sudah bersedia untuk turun beraksi bagi mencapai sasaran kita dalam memburu kejuaraan pada kali ini.

"Saya harap pasukan kami akan mempamerkan aksi yang baik pada kali ini dan sekali gus dapat menyumbang pingat kepada kontinjen negeri," katanya.

Pada Sukma kali ini, Kedah mensasarkan 10 pingat emas meliputi acara seperti bina badan, lumba basikal trek, ping pong, silambam dan bola tampar pantai. - BERNAMA

Artikel Lain