suria

Atlet Lawan Pedang Perlu Tunjuk Kemampuan Di Indonesia:Zolkples

KUALA LUMPUR: Majlis Sukan Negara (MSN) akan mempertimbangkan untuk menjadikan sukan lawan pedang sebagai acara sukan wajib sekiranya atlet lawan pedang mampu menunjukkan kejayaan cemerlang pada Sukan SEA di Indonesia pada akhir tahun ini.

Ketua Pengarah MSN Datuk Zolkples Embong berkata sekiranya pasukan negeri mampu melahirkan atlet yang berkemampuan untuk meraih pingat emas pada peringkat Sukan SEA beliau berjanji akan mempertimbangkannya.

"Tidak salah jika kita menjadikan sukan lawan pedang sebagai sukan wajib kalau kita ada atlet yang berkebolehan untuk beraksi di peringkat antarabangsa," katanya kepada pemberita Selasa.

Zolkples berkata secara keseluruhan beliau berpuas hati dengan persembahan dan perjalanan hari keenam temasya Sukan Malaysia yang akan berakhir pada 12 Jun ini.

"Saya dapat melihat ramai bakat-bakat muda yang mempunyai kebolehan untuk diserap sebagai atlet pelapis dan kita akan buat tapisan.

"Ini menunjukan bahawa negeri mampu mengatur programnya sendiri dalam melahirkan atlet yang berkebolehan," katanya.

Beliau berkata tujuan temasya Sukan Malaysia Ke-14 adalah untuk memberi peluang kepada acara sukan tidak popular berkembang dan hasilnya telah dapat dilihat Selasa.

Sukan Malaysia yang mempertandingkan 19 acara sukan akan berlangsung sehingga 12 Jun ini sejak 2 Jun lepas di 17 venue di ibu negara, Bangi dan Shah Alam.- BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain