suria

Tiga Atlet Olahraga Akan Jalani Ujian Doping Di Bulgaria

KUALA LUMPUR: Institut Sukan Negara (ISN) akan menjalankan ujian doping ke atas tiga atlet olahraga negara yang 'melarikan diri' daripada ujian tersebut setelah berlepas ke Bulgaria dengan kerjasama Pertubuhan Anti-Doping Benua (RADO) di Eropah.

Ketua Pengarah ISN Datuk Dr Ramlan Abd Aziz berkata pihaknya akan mendapatkan maklumat yang diperlukan daripada Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM) agar ujian doping itu dapat berjalan dengan licin.

"Ini bermakna ketiga-tiga atlet yang berada di sana (Bulgaria) tidak perlu pulang ke Malaysia semata-mata untuk menjalani ujian doping di sini dan kos pun dapat dijimatkan.

"Malah kami jangkakan tidak akan timbul sebarang masalah besar untuk menghubungi ketiga-tiga atlet tersebut," katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini hari ini.

Tiga atlet terlibat ialah Norjannah Hafizah Jamaluddin, Nurul Sarah Kadir dan Noor Imran Hadi yang kini berada di Sofia, ibu negara Bulgaria untuk tujuan latihan dan menyertai beberapa kejohanan.

Terdahulu beliau dan Presiden KOAM, Datuk Seri Shahidan Kassim hadir sebagai tetamu khas Sukan Malaysia ke-14 dalam acara berbasikal trek di Velodrom Cheras.

Ramlan berkata RADO juga telah menyatakan kesediaan untuk membantu ISN bagi melakukan ujian doping tersebut jika ada permintaan.

"Jika didapati positif, ia terpulang kepada persatuan kebangsaan itu sendiri iaitu KOAM untuk mengenakan hukuman kepada atlet tersebut, dengan menubuhkan panel seperti mana prosedur yang biasa dilakukan.

"Saya harap tiada erti kata berat sebelah ditunjukkan oleh badan tersebut sekiranya mereka didapati bersalah," katanya.-BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain