suria

Liga Super: Terengganu Mahu Lupa Seketika Kemenangan Piala FA Untuk Tumpu Pada Liga Super

KUALA TERENGGANU: Terengganu terpaksa menanguhkan seketika hajat untuk berpesta selepas dinobatkan juara Piala FA, Sabtu lalu, sebaliknya akan memberi tumpuan penuh pada perlawanan Liga Super menentang pasukan T-Team Selasa.

Ketua jurulatih, Irfan Bakti Abu Salim hari Selasa berkata pasukannya perlu memberi tumpuan pada baki perlawanan Liga Super walaupun peluang mendakap kejuaraan Liga Super musim ini semakin sukar.

Terengganu, yang merangkul kejuaraan Piala FA 2011 dengan menewaskan Kelantan 2-1, kini menduduki tangga ketiga liga dengan 47 mata manakala Kelantan menguasai persada liga dengan 50 mata diikuti Selangor dengan 48 mata.

Walaupun peluang ketiga-tiga pasukan untuk dinobatkan sebagai juara Liga Super musim ini masih terbuka tetapi Kelantan mempunyai peluang cerah dalam baki dua perlawanan.

Terengganu dan Selangor hanya mampu mengharapkan Kelantan tercicir dalam dua permainan terakhir menentang Perak dan Sabah. Irfan Bakti berkata beliau tetap akan menurunkan barisan pemain terbaik dalam pertemuan dengan T-Team bagi memastikan kemenangan selepas kalah dua kali di gelanggang sendiri.

Terengganu akan beraksi tanpa kelibat Mohd Zubir Mohd Azmi yang akan kembali ke pasukan Olimpik negara, katanya.

Sementara itu, ketua pasukan Marzuki Yusof berharap rakan sepasukan dapat memberi komitmen dan tumpuan penuh bagi menghadapi dua baki perlawanan Liga Super menentang T-Team esok dan Felda United pada 6 Julai ini.

Katanya persaingan untuk merebut juara liga masih terbuka dan jika pemain dapat mengekalkan prestasi tidak mustahil Terengganu mampu mengulangi kejayaan.

"Saya berharap semua pemain jangan hilang fokus dan leka dengan kemenangan yang dicapai, peluang untuk muncul pendahulu liga masih terbuka luas untuk pasukan Terengganu," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain