KOTA BARU: Skuad kebangsaan mengalahkan Myanmar 2-0 pada perlawanan persahabatan di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV di sini malam Sabtu.Gol pertama Harimau Malaya dijaringkan oleh Mohd Amirulhadi Zainal pada minit ke-28 berikutan kesilapan pemain Myanmar tidak dapat menampan bola dengan kemas di depan pintu gol yang memudahkan Mohd Amirulhadi memasukkan bola ke dalam gol. Malaysia terus menguasai permainan pada separuh masa kedua dan pada minit ke-55, Badrul Bakhtiar mencipta pula gol kedua Malaysia membolosi jangkauan penjaga gol Myanmar, Kyaw Zin Htet.Pasukan kebangsaan terus menggasak namun beberapa percubaan melewati palang gol atau berjaya dihalang oleh penjaga gol Myanmar.Hujan lebat sejak petang membataskan pergerakan pemain kedua-dua pasukan yang terpaksa bermain dalam keadaan berhati-hati dengan disaksikan kira-kira 10,000 penonton.Barisan Pemain:MALAYSIA: Mohd Sharbinie Allawee (K. Sasikumar), Baddrol Bakhtiar, Mohd Amirulhadi Zainal, Helmi Remeli (Yong Kuong Yong), Mohd Shakir Shaari (Amar Rohidan), S. Kunalan, Abdul Hadi Yahaya, Safiq Rahim (C), Mohamad Aidil Zafuan (Mohd Rizal Fahmi Abd Rosid), Mohd Rizal Fahmi Ab. Rosid, Mohd Asrarudddin Putra dan Mohd Farisham Ismail (Mohd Azmi Muslim).MYANMAR: Kyaw Zin Htet, Min Ko Ko (Zaw Zaw Oo), Pai Soe, David Htan (Soe Myat Thu) (Mai Aih Naing), Kyaw Ko Ko, Kyi Lin, Yan Aung Kyaw (Naing Soe Wai), Zaw Ming Tun (C), Shwe Hlainh Win, Yan Aung Win dan Aung Hhein Kyaw (Min Min Thu).- BERNAMA