KOTA BARU: Jurulatih skuad kebangsaan Datuk K. Rajagobal berpuas hati dengan prestasi pemainnya selepas berjaya menewaskan Myanmar 2-0 pada perlawanan persahabatan antarabangsa di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV di sini malam Sabtu.Beliau berkata beberapa pemain baru seperti Mohd Farisham Ismail, Helmi Remeli dan Mohd Shakir Shaari juga telah bermain dengan begitu baik untuk pasukan negara menewaskan anak didik Zivadinoviv Milan. "Kita ada kombinasi yang baik dan pemain telah berjaya menjaringkan gol awal seperti yang diharapkan dan ini merupakan harapan yang sangat baik untuk pasukan kita."Pemain yang baru juga bermain dengan baik dan saya sangat berpuas hati dengan prestasi mereka," katanya kepada pemberita selepas perlawanan itu.Gol kemenangan pasukan kebangsaan dijaringkan oleh Mohd Amirulhadi Zainal pada minit ke-28 dan Badrul Bakhtiar (minit ke-55).Rajagobal juga turut memuji pemain Mynamar yang banyak menyerang dan hampir membolosi gol Malaysia."Mereka bermain baik dan agresif tetapi pemain kita berjaya menyekat kemaraan mereka," katanya.Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada sokongan penonton yang berjaya menyuntik semangat pasukan negara untuk mencipta kemenangan.Milan turut mengucapkan tahniah di atas kemenangan pasukan negara."Kamu memiliki pemain yang bagus. Kami bekerja keras tetapi pasukan Malaysia adalah pasukan yang sangat baik dan lebih baik daripada pemain saya," katanya.Beliau berkata Malaysia mampu menjadi pasukan yang digeruni dalam tempoh beberapa tahun lagi berdasarkan prestasi para pemainnya.- BERNAMA