suria

125 Atlet Galas Cabaran Negara Ke Temasya Universiade di China

KUALA LUMPUR: Malaysia akan menghantar kontinjen lebih 150 anggota ke temasya Sukan Universiti Dunia (Universiade) kali ini, jumlah teramai dalam sejarah pembabitan negara dalam temasya itu sejak awal tahun 1980-an .

Pada edisi ke-26 temasya Universiade di Shanzen, China pada 11 hingga 23 Ogos depan, kontinjen negara dibarisi 125 atlet dan bakinya pegawai.

Temasya dwi-tahunan itu akan menghimpunkan seramai 10,000 atlet dan pegawai dari seluruh dunia.

"Untuk penyertaan kali ini, ia boleh dikatakan penyertaan teramai atlet dari Malaysia. Melalui kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dengan MSN (Majlis Sukan Negara) dan ISN (Institut Sukan Negara), kita telah mengenal pasti 125 orang atlet mahasiswa elit.

"Boleh dikatakan lebih 80 peratus atlet yang akan membawa cabaran negara adalah terdiri daripada atlet pelapis dan elit negara. Ada di antara mereka juga akan beraksi di Sukan SEA dan Sukan Olimpik London 2012," kata penyelaras media bahagian sukan KPT, Nur Ekmal Buhary.

Berdasarkan kepada senarai atlet yang akan beraksi di Shanzen itu, Nur Ekmal berkata ia adalah satu kontinjen yang mempunyai keupayaan tinggi untuk menyumbang pingat buat negara.

"Berbanding dengan tahun-tahun sebelum ini, kita hanya memberi tumpuan kepada atlet universiti sahaja. Namun kini, kita sudah mempunyai ramai atlet elit dari sukan berprofil tinggi yang juga mahasiswa.

"Ia secara perlahan-lahan boleh menjayakan hasrat kerajaan untuk melihat 30 peratus atlet negara terdiri daripada mahasiswa," katanya.

Malaysia akan mengambil bahagian dalam 13 jenis sukan iaitu renang, terjun, badminton, catur, berbasikal, bola sepak, gimnastik, golf, lawan pedang, memanah, menembak, olahraga dan taekwondo.

Antara atlet elit yang akan mengambil bahagian pada temasya kali ini ialah Azizulhasni Awang (berbasikal trek), Pandelela Renong dan Leong Mun Yee (terjun), Bryan Nickson Lomas (terjun), Khoo Cai Lin (renang), Zulfadli Zulkifli (badminton) serta Wan Mohd Khalmizam Wan Abd Aziz dan Chen Chu Sian (memanah).

Mengenai persiapan atlet, Nur Ekmal berkata semua atlet sedang menjalani latihan masing-masing di MSN.

"Sebelum berangkat ke China secara berperingkat-peringkat, kita akan mengadakan kem latihan pusat khusus untuk penyelarasan peringkat terakhir," katanya.

Bagaimanapun, pihak KPT masih belum meletakkan sebarang sasaran pingat dan jumlah sasaran itu mungkin akan dibincangkan pada mesyuarat bersama pengurus-pengurus pasukan pada Khamis ini.

Pencapaian terbaik atlet Malaysia pada temasya Universiade ialah pada tahun 2007 di Bangkok, Thailand melalui Chee Chew Chan yang memenangi pingat perak dalam acara taekwondo.-BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain